Anda di sini

46,122 pekebun kecil dan penoreh getah terima BMT

Advertisement

Meringankan beban ketika musim tengkujuh atau hujan

PITAS: Seramai 46,122 pekebun kecil dan penoreh getah di Sabah akan menerima bantuan di bawah program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melibatkan RM27.7 juta untuk bulan November, Disember tahun ini dan Januari 2018.

Bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada setiap pekebun kecil dan penoreh getah yang layak bermula di sini semalam dengan 2,387 orang dari 20 buah kampung di Pitas dan Kota Marudu menerima bantuan masing-masing bagi bulan November daripada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Mereka adalah sebahagian daripada 2,580 pekebun kecil dan penoreh getah dari 176 kampung di Pitas melibatkan RM516,000 dan 8,615 pekebun kecil dan penoreh dari 144 kampung di Kota Marudu melibatkan RM1.7 juta yang akan menerima bantuan berkenaan untuk tiga bulan.

Peruntukan BMT disediakan kerajaan persekutuan dan disalurkan melalui  Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) adalah untuk membantu meringankan beban pekebun kecil serta penoreh getah yang pendapatan mereka terjejas akibat musim tengkujuh atau hujan.

Seorang penerima Willem Rumija, 65, dari Kampung Sulakolung, berkata bantuan yang disediakan kerajaan sangat baik dan memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil serta penoreh getah.

Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan dapur ketika pekebun kecil dan penoreh getah tidak dapat keluar bekerja kerana musim hujan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun beliau merayu kepada kerajaan supaya tempoh bantuan berkenaan dipanjangkan sehingga lima atau enam bulan kerana selain musim hujan yang biasa berlaku antara bulan Oktober hingga Mac, penoreh  juga hadapi masalah lain seperti musim kurang susu getah dan harga pasaran getah yang tidak menentu.

Seorang lagi penerima Darias Danki, 57, dari Kampung Sinukab pula, selain bersetuju dengan pandangan Willem, dia mahu supaya program bantuan berkenaan diteruskan.

Katanya bantuan berkenaan begitu bermakna kepada pekebun kecil dan penoreh getah lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak bersekolah.

Darias mencadangkan kepada kerajaan agar bayaran insentif kepada pekebun kecil dan penoreh getah dinaikkan daripada 5 sen hingga 6 sen sekilogram bagi kentalan kepada 20 sen sekilogram. — Bernama

Advertisement