Anda di sini

Semua lapisan masyarakat harus gembleng tenaga banteras dadah

Advertisement
 Sairin (tengah) serta Azry, Ahmud, Rosdee, Razali dan pegawai kerajaan lain bersama para peserta.
GEMBLENG BERSAMA: Sairin (tengah) serta Azry, Ahmud, Rosdee, Razali dan pegawai kerajaan lain bersama para peserta.

KENINGAU: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin Karno berkata, isu dadah yang menjadi ancaman negara dengan pelbagai insiden melibatkan pengaruh dadah amat membimbangkan.

Katanya, kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menyebabkan kehilangan 23 nyawa pelajar dan guru adalah angkara khianat lima remaja yang didapati positif dadah jenis syabu dan ganja.

Ini menggambarkan pengaruh dadah adalah satu pemasalahan yang kronik dan menyebabkan berlakunya jenayah yang lain,” katanya semasa berucap menutup Program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di SMK Keningau 1, di sini pada Ahad.

Katanya, dadah bukan isu baharu dan tidak diketengahkan tetapi kadangkala dalam kesibukan ibu bapa mengejar dan menumpukan kepada isu yang lain, mereka semakin terlupa bahawa isu dadah semakin mengancam keharmonian rakyat dan orang di sekeliling.

Sairin berkata, dalam keadaan dan kecanggihan teknologi yang tidak terkawal serta pengaruh rakan sebaya yang semakin hebat, tanpa mereka sedari pemasalahan dadah semakin menjadi topik perbualan hangat di peringkat sekolah sehinggalah di peringkat komuniti.

Dadah adalah musuh nombor satu negara namun adakah kita juga meletakkan tindakan kita terhadap masalah dadah ini di tangga yang nombor satu? Disebabkan kita tidak benar-benar meletakkan bentuk tindakan terhadap dadah di tahap nombor satu, maka isu yang sudah bertahun-tahun diperkatakan ini masih belum mencapai penyelesaiannya.

Sebagai individu, masyarakat dan pemimpin tidak lagi perlu hanya bercakap sahaja tetapi harus bertindak dan bersama-sama memainkan peranan sebagai rakyat di negeri ini, sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi masalah dadah.

Kita perlu membebaskan diri kita daripada masalah dadah, keluarga, anak-anak dan kemudian masyarakat di sekeliling kita. Kita harus mengutamakan agar dadah tidak mempengaruhi kehidupan kita,” katanya.

Di samping itu, katanya, ilmu pengetahuan berkaitan jenis-jenis dadah dan kesannya terhadap kesihatan perlu didalami agar boleh menjelaskan tentang keburukan serta kesengsaraan yang dibawa oleh dadah terhadap diri manusia.

Sairin yang juga ADUN Liawan berharap guru-guru dan ibu bapa memainkan peranan menangani masalah dadah dan tidak perlu berjuang menentang dadah dengan menggunakan peruntukan berjuta ringgit hanya untuk mahu menjelaskan tentang kesan buruk penggunaan dadah kepada pelajar, remaja serta belia.

Katanya, menyampaikan ilmu dengan menggunakan pendekatan pendidikan di sekolah dan di rumah boleh membantu pelajar memahami kesan serta implikasi keburukan penggunaan dadah.

Saya berharap kita bersama-sama berganding bahu menangani masalah dadah di semua peringkat kerana kita akan mewariskan dunia ini kepada generasi kita yang akan datang.

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada AADK kerana sentiasa aktif dan proaktif dalam usaha menyampaikan maklumat dadah tanpa mengenal erti putus asa di semua peringkat, termasuk masyarakat,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh AADK dan Pejabat Pendidikan Daerah Keningau itu telah dihadiri seramai 50 peserta terdiri pelajar SMK Keningau 1.

Hadir sama, Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @Azmi, Pengetua SMK Keningau 1 Ahmud Saribin, wakil Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Rosdee Razali dan mantan Pengerusi Skuad AADK Keningau Razali Baba.

Advertisement