Anda di sini

RM100 ribu untuk pembangunan Menumbok

Advertisement
 Limus (dua kiri) dan Musa (empat kanan) bersama para tetamu lain menunjukkan isyarat bagus.
GEMBIRA: Limus (dua kiri) dan Musa (empat kanan) bersama para tetamu lain menunjukkan isyarat bagus.

MENUMBOK: Kerajaan negeri menyumbangkan peruntukan RM100,000 bagi keperluan pelbagai pembangunan di daerah kecil ini.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, peruntukan itu bagi memastikan keupayaan serta potensi sektor perikanan dapat dipertingkat demi kesejahteraan warga nelayan di kawasan ini.

Jelasnya peruntukan itu disumbangkan untuk membiayai keperluan pembangunan di daerah ini.

Ini bagi menghargai para nelayan yang turut menyumbang kepada pembangunan sumber ekonomi negeri khususnya dalam sektor perikanan dan makanan.

Bagaimanapun, nelayan perlu bersedia mengubah kaedah penangkapan ikan untuk meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus dapat menggandakan pendapatan mereka.

Pada masa sama, kita menggalakkan warga nelayan agar membangunkan produk hiliran berasaskan ikan sebagai nilai tambah kepada sumber sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Nelayan Menumbok Ke-17 Tahun 2017 dan Program Mobile CTC (Pusat Transformasi Komuniti Bergerak) di Tapak Pesta Nelayan, Pantai Mempakul, di sini pada Ahad.

Mengenai pesta itu, Musa menjelaskan selain meraikan para nelayan, ia dapat merapatkan silaturrahim antara para nelayan, pemimpin serta masyarakat setempat.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan Projek Tukun Tiruan daripada Jabatan Perikanan Sabah, Skim Bantuan Nelayan (Enjin Sangkut) dari Ko-Nelayan dan Bantuan Sara Hidup Nelayan serta Penyampaian Anugerah Tokoh Nelayan 2017.

Antara yang hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih, ADUN Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Raezafaizal Arshad dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Husin Narion.

Advertisement