Anda di sini

Kurang kesedaran punca penghidap kanser payudara kritikal: Jainab

Advertisement
 Annie (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Jainab (tengah) sambil diperhatikan oleh Natrah (kanan).
MAJLIS AMAL: Annie (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Jainab (tengah) sambil diperhatikan oleh Natrah (kanan).

KOTA KINABALU: Kekurangan kesedaran berkaitan kanser payudara serta kecenderungan memilih rawatan alternatif menyebabkan penghidap yang dikesan sudah mengalami tahap kritikal di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, hal itu amat membimbangkan kerana wanita berumur lingkungan 40 hingga 60 tahun adalah dalam kalangan 60 peratus wanita yang menghidapi penyakit itu sudah mencapai tahap berbahaya.

Katany, pesakit berkenaan memilih rawatan alternatif berbanding rawatan di hospital tanpa menyedari kanser mereka sudah merebak ke seluruh badan.

Faktor lain adalah pesakit kurang kesedaran mengenai pentingnya menjalani ujian saringan dan pengesanan awal kanser payudara.

Bagaimanapun, terdapat juga pesakit yang dikesan dalam usia muda,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Kinabalu Pink Ribbon 2017, di sini pada Ahad.

Jainab berkata, kos rawatan keseluruhan kemoterapi yang mencecah RM40,000 juga menjadi satu beban dan halangan bagi pesakit kanser mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu katanya, sejak 2007 sehingga Jun tahun ini, Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) sudah melaksanakan program Subsidi Ujian Mammogram bagi membantu wanita menjalani pemeriksaan kanser payudara menerusi pendekatan bersubsidi.

Pengesanan awal kanser boleh mengurangkan kos keseluruhan rawatan serta meningkatkan kesedaran tentang kesihatan payudara sekaligus menyelamatkan nyawa.

Kementerian kita bersama Kinabalu Pink Ribbon turut berusaha membantu pesakit kanser payudara ini dengan melaksanakan pelbagai program serta kutipan amal bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji usaha Kinabalu Pinak Ribbon yang terus melaksanakan program amal mengutip dana untuk menganjurkan pelbagai program kesedaran dan pendidikan mengenai kanser payudara.

Katanya, pendidikan mengenai penyakit itu turut didedahkan di semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak sekolah selain memperluas ke kawasan pedalaman melalui forum atau ceramah.

Terdahulu, sejumlah RM60,000 berjaya dikutip pada Majlis Makan Malam Amal anjuran Kinabalu Pink Ribbon, manakala RM10,000 lagi disumbangkan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.

Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Patron Kinabalu Pink Ribbon Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri Menteri Luar Negeri Datin Seri Rubiah Samad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Asnimar Sukardi, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, Presiden Kinabalu Pink Ribbon Annie Chin dan IPP Kinabalu Pink Ribbon merangkap Pengerusi Pelaksana Malam Malam Amal 2017 Natrah Arif.

Advertisement