Anda di sini

Jepun digemparkan kes ngeri

Advertisement

Sembilan mayat dipenggal dan dilapah ditemui polis dalam flat

 Seorang lelaki melihat anggota polis berkumpul di hadapan bangunan flat dua tingkat (separuh ditutup dengan kanvas biru) di mana sembilan mayat ditemui dalam keadaan mengerikan di Zama, daerah Kanagawa semalam. — Gambar AFP
MENGGEMPARKAN: Seorang lelaki melihat anggota polis berkumpul di hadapan bangunan flat dua tingkat (separuh ditutup dengan kanvas biru) di mana sembilan mayat ditemui dalam keadaan mengerikan di Zama, daerah Kanagawa semalam. — Gambar AFP

ZAMA: Polis Jepun telah menemui sembilan mayat yang telah dilapah dengan kepala dipenggal dalam bekas di sebuah flat di pinggir Tokyo, menurut laporan media semalam.

Polis mengesahkan mereka telah menahan Takahiro Shiraishi, 27, yang tinggal di flat tersebut dalam kawasan kejiranan sunyi Zama.

Polis pada mulanya menemui dua kepala di dalam peti penyejuk di pintu masuk flat tersebut sebelum membuat penemuan ngeri beberapa bahagian mayat, menurut Jiji Press.

Semasa menjalankan siasatan, kepala milik sembilan mayat telah ditemui di dalam beberapa peti penyejuk dan bekas di flat tersebut, menurut rangkaian televisyen swasta TBS.

Mayat-mayat itu didapati milik lapan wanita dan seorang lelaki, lapor media.

Buat ketika ini, polis menahan Shiraishi atas dakwaan memotong mayat dan meletakkannya dalam peti penyejuk, menurut jurucakap Polis Metropolitan Tokyo.

Dia telah berkata, ‘Saya memotong satu mayat dan meletakkannya dalam peti penyejuk lalu menuang pasir najis kucing ke dalamnya untuk menyembunyikan mayat yang telah saya bunuh dan untuk menyembunyikan bukti’,” kata jurucakap terbabit.

Menurut TBS, Shiraishi memberitahu polis bahawa dia membuang isi dan organ mayat ke dalam tong sampah.

Jiji Press berkata, Shiraishi telah memberitahu polis dia memotong mayat-mayat tersebut dalam bilik mandi dan sebilah gergaji telah ditemui di dalam biliknya.

Jurucakap polis terbabit tidak dapat mengesahkan serta-merta semua laporan ini.

Akhbar Sankei Shimbun memetik kata seorang jiran bahawa beliau terhidu bau yang tidak pernah dihidunya selama ini.

Saya sangka bau itu adalah bau kumbahan,” katanya.

TBS berkata, bahagian mayat-mayat tersebut telah dikerat semua isinya.

Pasukan penyiasat mengerumuni flat tersebut ketika puluhan wartawan menyertai jiran tetangga yang ingin tahu di jalanan sempit itu.

Polis menggunakan kanvas biru untuk menyekat pandangan di dalam bangunan dua tingkat tersebut serta menutup tingkap bilik di tingkat dua di mana mayat-mayat tersebut ditemui.

Pihak berkuasa telah menyiasat kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun dan menemui kaitan di antara mangsa dengan Shiraishi.

Wanita terbabit terdahulu menyatakan dalam Twitter, ‘Saya mencari seseorang yang mahu mati bersama saya’, menurut laporan harian Sankei Shimbun.

Media lain berkata, Shiraishi dan wanita terbabit telah berhubung menerusi satu laman sesawang yang memaparkan maklumat mengenai perbuatan membunuh diri.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Shiraishi dan wanita terbabit berjalan bersama-sama pada Isnin minggu lepas, lapor NHK.

Dia telah dilaporkan hilang sejak 21 September dan abangnya melaporkan kehilangannya kepada polis, menurut Asahi Shimbun.

Awal Oktober, seorang bapa berusia 32 tahun ditahan setelah disyaki menikam anak perempuannya hingga mati.

Dia kemudian mengakui membakar rumah di mana isteri dan empat lagi anaknya ditemui mati.

Dalam jenayah paling berdarah dalam sejarah Jepun, Satoshi Uematsu berdepan dakwaan membunuh 19 orang serta cuba membunuh atau mencederakan 24 yang lain di sebuah pusat orang kurang upaya dekat Tokyo pada Julai 2016.

Pada 1997, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun memenggal kepala seorang rakan berusia 11 tahun dan meletakkannya di atas pintu pagar sekolahnya. — AFP

Advertisement