Anda di sini

Rocketfuel Entertainment bakal cetus pemasaran influencer di Malaysia

Advertisement
 Antara bakat-bakat di bawah naungan Rocketfuel.
MERIAH: Antara bakat-bakat di bawah naungan Rocketfuel.

ROCKETFUEL Entertainment bakal menguasai pemasaran ‘influencer’ dengan barisan bakat terkemuka menerusi pendekatan holistik dalam pengurusan bakat dan penghasilan kandungan digital yang memberi fokus khusus terhadap bakat personiliti tersebut.

“Pendekatan bagi pemasaran bakat pada hari ini lebih bersifat fragmen. Oleh itu, Rocketfuel berhasrat untuk menggunakan pendekatan yang lebih padu dan holistik dalam memenuhi polar kekosongan pasaran kini dengan penubuhan sebuah organisasi pengurusan bakat yang menawarkan barisan personaliti berpengaruh serta mempunyai jangkauan luas di platform digital dan media sosial,” kata Murali ‘Moots’ Marimuthu, Admiral Rocketfuel pada majlis pelancaran Rocketfuel baru-baru ini.

Beliau menambah, “Seperti yang diketahui, strategi pemasaran yang melibatkan selebriti mampu menyuntik keyakinan tinggi pengguna terhadap sesuatu servis atau produk.

“Justeru itu, Rocketfuel berhasrat untuk mengangkat strategi pemasaran ini ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dengan memberi lebih makna dan nilai terhadap kolaborasi yang dijalin bersama jenama dengan merapatkan jurang dalam komunikasi menerusi penggunaan mesej yang mampu mempengaruhi pengguna.”

Untuk memenuhi kepelbagaian dalam perkhidmatannya, Rocketfuel Entertainment mempunyai tiga pengurusan berbeza iaitu Rocketfuel Talent, Rocketfuel Records dan Rocketfuel Networks.

Rocketfuel Talent merupakan bahagian pengurusan bakat Rocketfuel Entertainment yang kini dinaungi oleh barisan bintang popular Malaysia seperti Zizan Razak, Lisa Surihani, Aaron Aziz dan Hisyam Hamid. Selain itu, Rocketfuel Talent juga mempunyai lebih 100 bakat terkemuka televisyen dan radio Astro.

Akademi bakat Rocketfuel bertujuan melatih dan memperkembangkan bakat-bakat di bawah naungannya untuk beraksi di persada tempatan dan antarabangsa.

Rocketfuel Records merupakan salah sebuah label muzik persendirian yang membariskan penyanyi terkenal seperti Hazama, Syamel, Hafiz Suip dan Stacy.

Selain itu, ia turut dinaungi oleh artis dari rantau Asia iaitu Chaleeda Gilbert, pelakon dan penyanyi sensasi YouTube berdarah kacukan Thai-British yang mana lagu Thai pertamanya, ‘Ready for Love’ telah mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 2.2 juta sejak Ogos 2017.

Rocketfuel Network merupakan bahagian pengurusan dalam Rocketfuel Entertainment yang bertanggungjawab dalam penghasilan kandungan digital dengan kerjasama pencipta kandungan dan juga penghasilan kandungan baru.

Boneka lucu, Harry Kok Siew, mencipta fenomenanya tersendiri dengan jumlah tontonan sebanyak 1.2 juta di media sosial. Dengan kehadiran ketiga-tiga pengurusan di bawah satu bumbung, Rocketfuel dapat menyusun strategi dan melaksanakan kempen pemasaran influencer yang bersesuaian dengan pelbagai jenama dengan kolaborasi bersama bakat-bakat popular di Malaysia dan rantau Asia serta menghasilkan kandungan IP yang mampu menguasai media sosial.

Perkhidmatan Rocketfuel termasuklah kandungan berjenama, pemasaran media sosial, penerbitan video, promosi menggunakan selebriti atau ‘influencer’, ciptaan IP dan pengurusan bakat.

Bakat-bakat di bawah naungan Rocketfuel serta kandungan-kandungan IPnya mempunyai jangkauan media sosial lebih 36 juta dengan barisan personaliti dalam segmen kecantikan, fesyen, gaya hidup, automotif, keibubapaan dan pelbagai lagi.

Advertisement