Anda di sini

Astro dinobat ‘Pengubah Digital di Malaysia’ oleh IDC ASEAN

__alt__

BARU-BARU ini Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) telah diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Pengubah Digital di Malaysia’ atau ‘Digital Transformer in Malaysia’ oleh International Data Corporation (IDC) ASEAN bersempena dengan Anugerah Transformasi Digital (IDC DX Awards) yang julung-julung kalinya diadakan.

 Anugerah Transformasi Digital ini bertujuan untuk mengiktiraf organisasi-organisasi di seluruh Asia / Pasifik yang mempamerkan keberjayaan dalam usaha-usaha mereka menerapkan transformasi digital dalam perniagaan atau operasi harian.

 Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, “Astro akan terus mengguna pakai teknologi pembawa perubahan seperti digital, atas talian dan mudah alih untuk menyokong teras syarikat yang menjadikan pengguna sebagai keutamaan.

 Ketika ini, Astro telah berjaya menembusi 72 peratus isi rumah di Malaysia setelah hampir 20 tahun menawarkan perkhidmatan.

 “Dalam usaha untuk meningkatkan peratusan penembusan ini, kami menyasarkan untuk menjadi yang terbaik dalam ruang kediaman dan individu, bukan sahaja di Malaysia, malahan di peringkat serantau.

 Astro telah melancarkan beberapa jenama pengguna digital seperti aplikasi perhubungan telefon pintar (OTT), Astro GO dan Tribe; perkhidmatan e-dagang, Go Shop; portal hiburan nombor satu di Malaysia, Gempak dan peneraju laman berita digital, Awani.

 Pada hari ini, Astro telah berjaya meraih hampir 7 juta pengunjung unik merentasi 40 jenama digital yang beroperasi secara aktif di laman web dan aplikasi mudah alih.

 Sejajar dengan penerapan transformasi digital pada keseluruhan organisasi, kami telah menumpukan fokus dalam pembangunan perisian komputer, kecerdasan buatan (AI), analisis data, pembuatan video, teknologi pengiklanan dan e-dagang.

 Tumpuan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kos perkhidmatan dan menambah baik pengalaman pembabitan dalam saluran omni dan meningkatkan pengalaman peribadi.

 Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan penyelesaian pengiklanan yang lebih efektif dan menyumbang ke arah capaian pasaran yang lebih luas.

 Tambahnya lagi, “Kami akan mempercepatkan usaha untuk terus belajar dan mempelajari semula bagi membina kekuatan dan keupayaan untuk kekal relevan di mata pengguna dalam arus Dunia Baharu ini.

 Anugerah yang diberikan oleh IDC ini secara tidak langsung mengiktiraf usaha Astro dalam melaksanakan transformasi digital ini, dan ia mendorong kami untuk terus menyediakan perkhidmatan yang memberi keutamaan kepada pelanggan dan penumpuan kepada prasarana digital, mobilefirst dan cloud, di samping pemacuan berasaskan analisis.

” Sementara itu, Pranabesh Nath, Pengarah Penyelidikan, IDC Malaysia berkata, “Salah satu langkah untuk menentukan kejayaan sesebuah transformasi digital adalah keupayaan untuk menggambarkan di mana sesebuah syarikat itu akan berada di masa hadapan dan bagaimana teknologi digital dapat diguna pakai untuk mencapai wawasan tersebut.

 Perkara ini memerlukan mereka di bahagian perniagaan dan teknologi dalam sesebuah syarikat bergandingan dan berkerjasama, berbekalkan dorongan oleh pucuk pimpinan.

 Berdasarkan penilaian yang telah dilakukan oleh IDC kepada ke-semua projek-projek transformasi digital, Astro berjaya menarik perhatian para juri dengan skop perniagaan yang bersifat inklusif; merangkumi aspek-aspek dalaman dan luaran yang menentukan kejayaan sesebuah transformasi, sejajar dengan matlamat syarikat untuk menjadi peneraju segmen pasaran.

 Tidak semua syarikat mampu mengambil langkah ini kerana tahap implementasi yang sukar dan mencabar,” ujar Pranabesh.

 Projek transformasi digital Astro telah dipilih antara ratusan penyertaan yang dihantar oleh organisasi-organisasi pengguna-akhir (end-user) dari pelbagai industri di Asia / Pasifik.

 Kemenangan ini telah berjaya melayakkan Astro ke pusingan akhir IDC DX Awards peringkat serantau di mana kesemua pemenang dari negara-negara yang bertanding akan dinilai untuk menjadi yang terbaik di Asia / Pasifik.

 Untuk maklumat lanjut, sila layari www. IDCDXawards.com