Anda di sini

Rakyat ucap selamat jalan kepada Raja Bhumibol

Advertisement
 Anggota tentera diraja Thai menarik Rajarot Noi ketika upacara pengebumian bermula untuk Raja Bhumibol di Bangkok, semalam. — Gambar AFP
PENUH PENGHORMATAN: Anggota tentera diraja Thai menarik Rajarot Noi ketika upacara pengebumian bermula untuk Raja Bhumibol di Bangkok, semalam. — Gambar AFP

Tatkala upacara pengebumian bermula di Istana Agung setahun selepas kemangkatan baginda

BANGKOK: Lautan manusia berpakaian serba hitam yang berkabung berhimpun di pusat bersejarah Bangkok semalam apabila upacara pengebumian bermula untuk Raja Bhumibol Adulyadej, seorang raja yang disanjungi rakyat dengan kemangkatan baginda selepas pemerintahan selama tujuh dekad menyebabkan Thailand kehilangan satu-satunya tokoh yang menyatukan negara.

 Apabila matahari terbit, kira-kira 200,000 orang Thai sudah berkumpul di sekitar Istana Agung untuk mengucapkan selamat jalan yang emosional kepada raja yang dikenali sebagai “bapa negara”, dengan senyap memenuhi kawasan kaki lima, kebanyakannya memeluk potret mendiang raja yang mereka sayangi.

 Menara emas sebuah tapak pembakaran bernilai AS$90 juta (RM387 juta) yang menakjubkan, dibuat khas untuk pengebumian ini, diterangi cahaya apabila putera dan pewaris Bhumibol, Raja Maha Vajiralongkorn, menyertai sami-sami Buddha untuk memulakan hari perarakan suram, pertunjukan gilang-gemilang yang berwarna-warni, dan upacara keagamaan.

 Vajiralongkorn menyalakan timbunan kayu pengebumian pada jam 10 malam waktu tempatan apabila ayahanda baginda, Rama IX dari dinasti Chakri, disemadikan.

 Upacara dihadiri rakyat Thai yang berpengaruh dan terkenal – kerabat diraja, jeneral dan tokoh kerajaan – selain puluhan pembesar asing.

 Acara gilang-gemilang itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengucapkan selamat jalan buat kali terakhir kepada seorang raja yang dinobatkan pada 1950 dan menyaksikan sejarah Thai selama berdekad-dekad, sebelum kemangkatan baginda pada Oktober tahun lepas pada usia 88 tahun menimbulkan keadaan tidak menentu di sebuah negara yang diperintah oleh junta yang memecah-belah rakyat.

 Beberapa propaganda istana dan undang-undang lese majeste yang keras menggilap reputasi raja itu sepanjang pemerintahan baginda.

 Namun hubungan intim Bhumibol dengan rakyat jelata terpapar semalam.

 Pembawa yang mengenakan pakaian tradisional berwarna terang, diapit oleh peniup seruling dan pemain gendang, membawa Bekas Abu Diraja yang simbolik di atas sebuah tandu ke tokong, satu penghormatan artileri menetapkan tempo.

 Ketika bekas melintas, ramai orang meniarap sepenuhnya di atas tanah, satu amalan yang dahulu dimansuhkan dan dikembalikan sewaktu pemerintahan Bhumibol, manakala ada yang menangis.

 “Baginda sempurna.  Baginda banyak membantu negara dan rakyat Thai.

 Seramai 70 juta orang Thai bersatu dalam kasih sayang mereka kepada baginda,” kata Wacharadej Tangboonlabkun, 65, yang seperti kebanyakan orang Thai tidak mengenali raja lain sebelum kemangkatan Bhumibol.

 Kematian figura yang konsisten di sebuah negara yang bergolak dari segi politik telah membawa negara itu ke dalam keadaan yang tidak menentu.

 “Sekarang tidak ada bapa lagi yang hanya memberi kepada anak-anaknya,” kata Kingkan Kuntavee, 47, kepada AFP.

 Bagi kebanyakan waktu dalam pemerintahan Bhumibol yang panjang, Thailand terus terjebak dalam kitaran protes ganas, kerajaan awam yang tidak lama dan kudeta.

 Pergolakan politik membekalkan ketua junta dan perdana menteri yang tidak putus- putus, tetapi semua tidak memiliki modal moral Bhumibol dengan rakyat Thai.

 Baginda meninggalkan salah satu monarki paling kaya di dunia, yang berdiri di puncak salah satu masyarakat paling tidak sama rata di Asia Tenggara.

 Penghormatan kepada monarki – dan golongan elit sosial yang menggarisinya – adalah hakikat yang semula jadi di Thailand.

 Sebelum perarakan bermula, pembantu istana bergerak di atas lutut mereka di hadapan raja baharu, manakala sami yang memakai jubah oren menyebut doa Buddha.

 Raja baharu, yang mengenakan pakaian kebesaran tentera sepenuhnya ketika baginda menyertai perarakan, akan dinobatkan selepas ayahanda baginda siap disemadikan.

 — AFP

Advertisement