Anda di sini

Sarawak enggan berputih mata

Advertisement
 Barisan pemain Sarawak gigih menjalani latihan di Stadium Negeri Kuching sebelum berdepan T-Team di Kuching Sabtu ini.
PERJUANGAN TERAKHIR: Barisan pemain Sarawak gigih menjalani latihan di Stadium Negeri Kuching sebelum berdepan T-Team di Kuching Sabtu ini.

Turun dengan misi meraih kemenangan pada perlawanan terakhir menentang T-Team Sabtu ini

KUCHING: Sarawak enggan berputih mata untuk beraksi dalam Liga Super musim depan apabila bakal turun dengan misi meraih kemenangan mutlak pada perlawanan terakhir Liga Super 2017 menentang TTeam, Sabtu ini.

 Apa yang pasti, gelanggang keramat Stadium Negeri Kuching menjadi pentas penentu nasib ‘hidup mati’ pasukan Bujang Senang musim ini.

Pengendali Sarawak, Pengiran Bala menaruh kepercayaan tinggi terhadap anaka n a k buahnya untuk mengekalkan momentum kemenangan selepas kejayaan menundukkan Kedah pada aksi sebelum ini.

Menurutnya, Sarawak tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengutip tiga mata penting pada perlawanan tersebut bagi mengekalkan kedudukan dalam Liga Super 2018.

 Meskipun keluar daripada zon penyingkiran namun kedudukan Sarawak belum ‘selamat’ kerana Kelantan juga masih berpeluang untuk layak ke liga utama negara itu sekiranya mengatasi Melaka United.

 Pengiran Bala berkata, skuadnya bakal berdepan ujian getir menjelang perlawanan menentang T-Team di laman sendiri, Sabtu ini dan hanya kemenangan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam Liga Super.

 “Kelantan juga memerlukan kemenangan dan sekiranya kalah kepada Melaka United, kita (Sarawak) terselamat.

 “Apapun, kita juga mesti mendapatkan kemenangan untuk mengutip tiga mata berharga dan kita tidak mahu bergantung kepada keputusan pasukan lain,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 Tidak dinafikan, T-Team tidak rela melepaskan peluang untuk kekal beraksi dalam Liga Super musim depan apabila berkunjung ke Kuching pada 28 Oktober ini (Sabtu).

 Justeru, Pengiran Bala menyifatkan perlawanan terakhir itu bakal berlangsung dengan sengit di mana keduadua pasukan memerlukan kemenangan mutlak.

 Beliau turut mendedahkan barisan pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia untuk menurunkan skuad utama pada perlawanan itu nanti.

 Pengiran Bala berharap sokongan padu peminatpeminat setia pasukan skuad Ngap Sayot dapat membantu menyuntikkan semangat perjuangan dan moral yang tinggi kepada pemain-pemainnya.

 Sarawak kini menghuni tangga ke-10 dengan mengutip 20 mata hasil daripada lima kemenangan dan lima seri selepas mengharungi 21 perlawanan.