Anda di sini

‘Datuk Seri’ anugerah bayi dalam kandungan, kata Siti Nurhaliza

Advertisement
 Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bergambar bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari (kiri) dan isteri Datin Seri Siti Nubiha Mohd Bisharuddin (kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang. — Gambar Bernama
GAMBAR ALBUM: Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bergambar bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari (kiri) dan isteri Datin Seri Siti Nubiha Mohd Bisharuddin (kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang. — Gambar Bernama

PENYANYI popular tanah air Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menyifatkan kurniaan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri sebagai rezeki kepada kandungannya yang kini memasuki usia empat bulan.

 Siti Nurhaliza berkata gelaran itu juga adalah balasan kepada usahanya selama 22 tahun bergelar anak seni, selepas menjuarai Bintang HMI terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1995.

 “Penghormatan ini adalah satu daripada pencapaian yang mempunyai sejarah tersendiri dalam perjalanan karier saya.

 Saya yakin setiap masyarakat mempunyai sumbangan dan peranan sendiri dan saya dalam bidang seni.

 “Ini adalah rezeki saya dan bayi dalam kandungan, kerana rezeki datang dalam pelbagai cara yang berbeza,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang pada Selasa lepas.

 Siti Nurhaliza merupakan seorang daripada lima personaliti tanah air yang menerima darjah kebesaran itu yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 Beliau yang menanti kelahiran zuriat sulung selepas 11 tahun berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut menjadi tumpuan penerima lain yang ingin merakamkan kenangan bersamanya.

 Sementara itu, pereka fesyen Jovian Mandagie yang menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk berhasrat untuk terus memperjuangkan keunikan Tenun Pahang Diraja ke persada fesyen antarabangsa.

 Beliau yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Jovian Mandagie Sdn Bhd berkata beliau pernah bekerjasama dengan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam satu pertunjukkan fesyen di Kuala Lumpur, lima tahun lalu.

 “Kami menggunakan Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan di Penjara Penor.

 Saya memang menyukai reka bentuknya yang unik dan berharap sekali lagi dapat menggunakannya dalam rekaan saya.

 “Saya juga melihat ini satu pengiktirafan dan bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah ini pada usia yang muda, hanya 31 tahun...selepas 10 tahun dalam industri fesyen, saya anggap ini adalah anugerah untuk semua yang terlibat dalam industri kreatif ini,” katanya.

 Seperti Siti Nurhaliza, Jovian Mandagie yang berasal dari Indonesia juga menyifatkan pengurniaan itu sebagai rezeki kepada anak sulungnya bersama isteri, Nina Sabrina Ismail Sabri.

 Sementara itu, pelakon Eizlan Yusof yang kini bergelar Datuk Seri dengan penganugerahan SSAP berkata ia akan menaikkan semangatnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan selepas 32 tahun berada dalam bidang seni dan korporat.

 Ditanya jika beliau berasa terkilan dengan tindakan segelintir individu termasuk rakan seni mempersendakan gelaran itu, Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof berkata beliau memilih untuk tidak mengendahkannya.

 “Saya berpegang kepada prinsip apa sahaja yang kita lakukan, sudah pasti akan ada yang tidak berpuas hati dan tidak suka.

 Saya menjadikan amalan untuk tidak mudah jatuh dengan kutukan atau jika dianiaya orang.

 “Saya mencuba sedaya upaya untuk membuat orang suka, tapi masih ada yang tidak suka dan saya maafkan mereka yang mempunyai perasaan tidak baik kepada saya,” katanya yang juga Pengerusi Eksekutif Blackstone Dagangan Sdn Bhd.

 Bagi pelakon kelahiran Singapura Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk berkata anugerah itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus berjaya dalam bidang seni dan perniagaan.

 Beliau yang juga Penaung Pertubuhan Johor 1Care Society mengakui beliau banyak berhadapan dengan cabaran kebelakangan ini, namun semua itu adalah asam garam kehidupan dan tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk beliau berjaya.

 “Cabaran itu bukan sebab saya berhenti berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar.

 Sebaliknya anugerah ini akan menjadikan saya lebih aktif dalam pertubuhan yang ditubuhkan untuk membantu kanak-kanak dan anggota masyarakat yang memerlukan,” katanya.

 — Bernama

Advertisement