
KOTA KINABALU: Polis mengadakan kawalan keselamatan yang ketat di Mahkamah Kota Kinabalu pada Isnin, sekali gus membolehkan proses lanjutan tahanan reman Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaksanakan dengan lancar tanpa kejadian tidak diingini.
Lebih 600 penyokong parti itu yang memakai baju berwarna jingga mula berhimpun di luar mahkamah seawal jam 8.30 pagi secara aman.
Mereka kemudian mula bersorak sebelum menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku di luar pagar mahkamah.
Kira-kira jam 11.30 pagi, Shafie tiba di Mahkamah Tinggi dengan memasuki pintu masuk bahagian belakang menaiki kenderaan pihak berkuasa.
Tepat jam 2 petang, Shafie yang gagal dalam permohonan semakannya di Mahkamah Tinggi dibawa ke Mahkamah Majistret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk lanjutan reman.
Penyokong yang sudah berkumpul di luar bersorak dan melaungkan ‘Bebaskan Shafie’.
Hujan renyai-renyai yang turun secara tiba-tiba tidak menghalang semangat penyokong untuk berdiri teguh menanti keputusan perintah reman yang dikeluarkan oleh mahkamah di sini.
Shafie diarahkan untuk menjalani tahanan reman yang dilanjutkan selama empat hari bermula Selasa sehingga Jumaat ini.
Turut hadir pada himpunan itu ialah Naib Presiden Warisan Junz Wong, Datuk Peter Anthony, Bendahari Agung Warisan Terence Siambun, Ketua Wira Datuk Mohd Azis Jamman serta barisan kepimpinan Warisan yang lain.