Anda di sini

Polis Brazil tembak mati pelancong

Advertisement

Wanita tua dari Sepanyol terkena tembakan di leher ketika lawat ‘favela’

 Pemandu pelancong Rosangela Renones Cunha (kanan) yang berada di dalam kereta bersama Ruiz Jimenez, memberi keterangan di balai polis di Rio de Janeiro, kelmarin. — Gambar Reuters
BERI PENJELASAN: Pemandu pelancong Rosangela Renones Cunha (kanan) yang berada di dalam kereta bersama Ruiz Jimenez, memberi keterangan di balai polis di Rio de Janeiro, kelmarin. — Gambar Reuters

RIO DE JANEIRO: Polis di Rio de Janeiro kelmarin berkata mereka tertembak seorang pelancong dari Sepanyol yang melawat sebuah ‘favela’ atau kampung setinggan ganas di mana dua anggota polis cedera, mengakibatkan kematian mangsa.

Sebuah kereta melepasi sekatan polis di ‘favela’ Rocinha pada jam 10.30 pagi waktu tempatan, menyebabkan anggota polis ‘bertindak balas’ tanpa menyedari pelancong berada di dalamnya, polis menyebut dalam satu kenyataan.

Membuat pemeriksaan kemudian, kenderaan itu di-dapati membawa pelancong.

Seorang wanita Sepanyol yang cedera dikejarkan ke Hospital Miguel Couto tetapi mati akibat kecederaannya,” kenyataan itu menyebut.

Skuad homisid mengenal pasti mangsa sebagai Maria Esperanza Jimenez, 67, yang terkena tembakan sekurang-kurangnya sekali di leher.

Satu siasatan dalaman sudah bermula.

Serangan itu berlaku sejam selepas polis dari sebuah unit elit bertempur dengan anggota geng dadah di dua lokasi dalam Rocinha, kampung setinggan yang sudah lama hampir tidak dapat dikawal oleh pihak berkuasa.

Pertelingkahan itu menyebabkan dua anggota polis dan seorang suspek disyaki gengster cedera dan dikejarkan ke hospital, kata polis, yang merampas sepucuk pistol Glock.

Ratusan askar bersenjata berat telah dikerahkan untuk membantu polis dan operasi di Rocinha sejak September setelah geng-geng dadah yang bermusuhan bertempur dengan satu sama lain dengan tembakan bertalu-talu.

Kejiranan rumah kecil yang luas dan padat itu terletak di atas bukit di atas daerah mewah Leblon di Rio.

Sejak temasya Sukan Olimpik pada tahun lepas, keselamatan di Rio sudah merosot dengan perlahan-lahan, khususnya di kampung setinggan di mana kira-kira sesuku daripada populasi bandar raya itu seramai 6.5 juta orang tinggal.

Geng dadah mengawal kebanyakan tempat di wilayah berkenaan.

Walaupun amaran keras dikeluarkan agar pelancong menjauhi dari kampung setinggan, segelintir syarikat masih menganjurkan ‘lawatan favela’.

Kedutaan Sepanyol di Brasilia memberitahu, ia sedang berhubung dengan pihak berkuasa berhubung kematian warga negaranya.

Laman berita G1 melaporkan pemandu kereta terbabit adalah seorang pemandu pelancong dari Itali yang sudah tinggal di Brazil selama empat tahun.

Dia memberitahu pihak berkuasa, dia tidak melihat sekatan polis dan tidak menyedari tentang pertempuran sebelum itu di kampung setinggan berkenaan.

Menurut gambar media Brazil yang menunjukkan kereta kelabu yang didakwa ada kaitan dengan insiden itu, tiada tanda menunjukkan ia membawa penumpang.

Abang dan kakak ipar mangsa, yang dipercayai bersama mangsa dalam kenderaan, tiba di hospital tetapi tidak membuat kenya-taan kepada wartawan.

Ogos lalu, seorang pelancong British cedera selepas terkena tembakan setelah dia tanpa sengaja memandu ke dalam sebuah kampung setinggan yang dikuasai penjenayah dekat Rio, kata polis ketika itu. — AFP

Advertisement