Anda di sini

Penduduk pulang saksi kehancuran Marawi

Advertisement
 Trak tentera melintasi bangunan yang musnah akibat perang di bandar Bangolo, Marawi City kelmarin. — Gambar Reuters
MIRIP SYRIA: Trak tentera melintasi bangunan yang musnah akibat perang di bandar Bangolo, Marawi City kelmarin. — Gambar Reuters

MANILA: Penduduk di sebuah kota selatan Filipina di mana penyokong Islamic State (IS) melancarkan perang kejam selama lima bulan mula pulang ke rumah semalam, tetapi tembakan menyambut mereka ketika askar mencari saki-baki militan di kawasan kejiranan yang musnah.

Ketua pertahanan kelmarin mengumumkan peperangan, yang meragut lebih 1,100 nyawa dan memusnahkan separuh timur Marawi, sudah berakhir ekoran pertempuran terakhir dalam sebuah masjid di mana puluhan lelaki bersenjata maut.

Puak militan menduduki Marawi, ibu kota Islam di Filipina, sebuah negara majoriti Katolik, pada 23 Mei lalu dalam apa yang disebut oleh Presiden Rodrigo Duterte dan penganalisis keselamatan sebagai usaha untuk menubuhkan pangkalan di Asia Tenggara untuk IS.

Kempen untuk mengusir mereka bertukar menjadi perang bandar paling lama di Filipina, yang memaksa kira-kira 400,000 orang untuk meninggalkan rumah mereka sementara puak militan mengelak serangan bom hampir setiap hari dengan bersembunyi dalam bilik bawah tanah, terowong dan masjid.

Kami takut tetapi kami mahu memeriksa rumah kami,” kata Jamaliah Lomontong, 40-an, pegawai kampung ketika menyertai ahli keluarganya memasuki kejiranan mereka tidak jauh dari medan pertempuran.

Lomontong berkata rumahnya selamat, tetapi ia telah dijarah.

Apa sahaja yang mudah dibawa sudah tiada lagi,  TV, komputer riba,” katanya.

Hanya beberapa puluh orang awam kelihatan pada pagi semalam di pinggir separuh timur Marawi yang kebanyakannya musnah, di mana tembakan kerap dilepaskan dan letupan dari semasa ke semasa masih dapat kedengaran.

Bagaimanapun bunyi perang bukan bermakna pertempuran sudah berlaku lagi, menurut Kolonel Romeo Brawner, timbalan panglima tentera Marawi.

Beliau memberitahu AFP ia adalah kerana askar yang memeriksa bangunan untuk mencari anggota militan yang mungkin masih bersembunyi, manakala anggota tentera turut meletupkan bom yang ditanam oleh lelaki bersenjata.

Ada kemungkinan beberapa anggota militan ditinggalkan. Dalam setiap peperangan, itulah SOP (prosedur operasi standard),” kata Brawner kepada AFP.

Jai tembakan itu adalah sebahagian daripada operasi pembersihan, kerana jika ada lubang, terowong (dalam bangunan), maka anggota tentera menembak terlebih dahulu ke dalam lubang sebelum mereka memeriksanya dengan lampu suluh,” katanya.

Di separuh barat kota berkenaan, yang amnya terlepas daripada pertempuran, ratusan penduduk sudah mula kembali.

Saya rasa gembira dan juga sedih,” kata ahli perniagaan Gonaranko Mapandi Jnr, 46, kepada AFP ketika berdiri dekat dengan sebuah pos pemeriksaan tentera.

Saya gembira kerana kami dapat pulang, namun saya sangat sedih dengan apa yang berlaku kepada bandar saya,” tambahnya. — AFP

Advertisement