
KOTA KINABALU: Kerajaan terus menyokong inisiatif mana-mana persatuan atau pertubuhan yang komited membangunkan ekonomi wanita di negeri ini.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, ia penting bagi membawa kehidupan golongan wanita maju ke hadapan seiring dengan aspirasi kerajaan.
“Kerajaan menyokong penuh setiap program melibatkan kaum wanita khususnya menerusi aktiviti yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).
“Saya memberi jaminan kepada anda (wanita) bahawa kami (Kerajaan Negeri) akan terus memberi sokongan kepada inisiatif yang dijalankan oleh Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (Swepa) bersama organisasi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Swepa ke-12 dan Majlis Makan Malam Amal, di sini pada Ahad.
Musa berkata, kejayaan Swepa melaksanakan pelbagai aktiviti keusahawanan membabitkan wanita bukti keprihatinan mereka terhadap golongan sasar khususnya yang tinggal di luar bandar.
Misalnya, Projek ‘Barefoot Solar 1.0 dan 2.0’ adalah bukti kesungguhan Swepa untuk menyebarluaskan inisiatif itu ke kampung-kampung yang memerlukan pembangunan.
“Saya memuji inisiatif Swepa yang melaksanakan pembinaan bekalan elektrik solar di Kota Marudu di bawah Projek Barefoot Solar 1.0 dan 2.0.
“Inisiatif ini dilakukan dengan menyediakan kemahiran seperti jahitan termasuklah pertanian, perusahaan mikro, pengurusan kewangan dan pemasaran kepada komuniti yang terlibat,” katanya.
Pada majlis itu, Presiden Swepa yang akan menerajui kepimpinan 2017 hingga 2019 disandang oleh Datuk Aminah Ambrose menggantikan Wynnie Jong.
Musa turut mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Swepa bagi melaksanakan aktivitinya.
Dalam pada itu, Swepa berjaya meraih Anugerah Pembangunan Lestari Junior Chambers International (JCI) Malaysia melalui Projek Barefoot Solar tahun ini.