Anda di sini

Kedudukan Xi kini setaraf Mao Zedong

Advertisement

Kuasa semakin kukuh, ‘pemikiran’ beliau dimaktubkan ke dalam perlembagaan

 Xi (tengah) dan para delegasi mendengar Internationale pada penghujung sesi penutupan Kongres Parti Komunis Ke-19 di Dewan Agung Rakyat di Beijing, semalam. — Gambar AFP
DIPERKUKUHKAN: Xi (tengah) dan para delegasi mendengar Internationale pada penghujung sesi penutupan Kongres Parti Komunis Ke-19 di Dewan Agung Rakyat di Beijing, semalam. — Gambar AFP

BEIJING: Parti Komunis yang memerintah China memaktubkan pemikiran politik Presiden Xi Jinping ke dalam perlembagaannya semalam, untuk meletak-kannya dalam lingkungan pengasas China moden Mao Zedong, dan mengukuhkan kuasanya di hadapan barisan baharu kepimpinan tertinggi.

Parti itu sebulat suara meluluskan pindaan untuk memasukkan ‘Pemikiran Xi Jinping mengenai Sosialisme dengan Ciri-ciri China bagi Era Baharu’  sebagai salah satu prinsip yang membimbingnya pada hujung kongres selama seminggu.

Parti itu akan mengumumkan Jawatankuasa Tetap baharunya, puncak kuasa di China, sekitar tengah hari ini, yang berakhir dengan rombakan kepimpinan dua kali dalam sedekad. Jawatankuasa sekarang dianggotai tujuh orang.

Turut dimasukkan dalam perlembagaan yang dipinda adalah kepimpinan “mutlak” parti ke atas tentera, usaha membanteras gejala rasuah akan diteruskan, inisiatif pembangunan “Belt and Road” oleh Xi, reformasi sisi bekalan, dan memberi laluan kepada “peranan penting” kuasa pasaran dalam peruntukan sumber.

Kongres berpendapat kepimpinan Parti Komunis China adalah sifat sosialisme yang paling penting dengan ciri-ciri China dan kekuatan terbesar dalam sistem ini,” parti itu menyebut dalam satu kenyataan.

Parti itu melaksanakan kepimpinan keseluruhan ke atas semua bidang usaha di seluruh negara,” katanya.

Sama ada Xi dapat memaktubkan namanya dalam perlembagaan parti ataupun tidak telah dilihat sebagai ukuran penting bagi kuasanya, untuk menjulangnya ke tahap pemimpin lama yang dicontohi Pemikiran Mao Zedong dan Teori Deng Xiaoping.

Tidak ada pemimpin lain sejak Mao mempunyai ideologi dengan namanya yang dimasukkan ke dalam dokumen tersebut ketika memegang kuasa.

Nama Deng hanya ditambah selepas kematiannya pada 1997.

Presiden sebelum Xi, Jiang Zemin dan Hu Jintao, meminda perlembagaan parti untuk memasukkan pemikiran mereka sebagai bimbingan, tetapi tanpa melampirkan nama mereka secara langsung kepadanya.

Jiang memasukkan ‘Tiga Lambang’ yang menerima usahawan swasta ke dalam perlembagaan, manakala Hu, presiden sebelum Xi, memasukkan doktrin pembangunan saintifik berhubung ekonomi.

Xi telah mengukuhkan kuasa dengan cepat sejak beliau memegang tampuk kepimpinan parti pada hujung 2012 dan kemudian jawatan presiden pada tahun berikutnya.

Parti itu memberi Xi jolokan pemimpin “teras” setahun lalu, satu usaha pengukuhan kedudukannya yang signifikan menjelang kongres, yang diadakan sekali setiap lima tahun.

Parti itu turut mengumum-kan jawatankuasa pusat baharu, yang terbesar antara badan pemerintahan elit, yang tidak memasukkan ketua antirasuah dan ahli Jawatankuasa Tetap sekarang, Wang Qishan, yang bermakna beliau tidak akan dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Tetap baharu.

Bagaimanapun beliau boleh diberi peranan lain yang hanya akan diputuskan selepas beberapa bulan.

Pengawal perbankan tertinggi China, Guo Shuqing, dan tokoh perbankan veteran Jiang Chaoliang, calon utama untuk menggantikan Zhou Xiaochuan sebagai gabenor bank negara, dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Pusat. — Reuters

Advertisement