Anda di sini

Gabungan kepakaran ahli akademik tingkat kualiti silibus PML

Advertisement
 D Kamarudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Connie (kiri). Turut kelihatan No’man (dua dari kiri) dan Aidah (kanan).
TINGKAT KUALITI: D Kamarudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Connie (kiri). Turut kelihatan No’man (dua dari kiri) dan Aidah (kanan).

KOTA KINABALU: Gabungan kepakaran ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menyediakan kerangka modul, kurikulum dan silibus baharu Pusat Minda Lestari (PML) mampu memacu transformasi PML ke arah penyediaan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, ia turut mampu menjadikan PML sebagai pusat perkembangan kanak-kanak yang cemerlang dan memberikan nilai tambah kepada kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan sedia ada bagi memastikan kualiti keberhasilan kanak-kanak dapat ditingkatkan.

Pengemaskinian modul, kurikulum dan silibus PML bukan sahaja memfokuskan kepada pengukuhan kemahiran kanak-kanak, tetapi juga membina ketrampilan modal insan melalui modul setiap tunjang seperti tunjang kerohanian, kemanusiaan, komunikasi dan kreativiti.

Bagi pihak universiti, saya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa Pengemaskinian Modul/Kurikulum/Silibus PML yang telah berjaya menghasilkan satu kerangka modul, kurikulum dan silibus yang baharu sebagai rujukan pengajaran dan pembelajaran di PML,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Jawatankuasa Pengemaskinian Modul/Kurikulum/Silibus PML di Cafe D’Sireh, pada Isnin.

Katanya, modul, kurikulum dan silibus berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan kurikulum PML sentiasa relevan dengan perkembangan pendidikan semasa, sekali gus menjadikan PML sebagai sebuah pusat penjagaan dan pembelajaran yang terbaik di rantau Borneo seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan PML 2016-2020.

Pada majlis itu, D Kamarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli jawatankuasa pengemaskinian modul, kurikulum dan silibus yang terdiri daripada ahli akademik dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW).

Turut hadir pada majlis itu, Pendaftar UMS No’man Hj Ahmad, Dekan FPP Prof Dr Mohd Dahlan A Malek, Pengarah PML Aidah Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Pengemaskinian Modul/Kurikulum/Silibus Dr Connie Cassy Ompok.

Advertisement