Melibatkan kelengkapan aset, latihan pemantapan pegawai dan anggota
TAWAU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini bersiap sedia berhadapan sebarang kemungkinan risiko bencana alam yang dijangka berlaku pada bulan hadapan hingga akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya APM Roslan Wahab berkata, persediaan itu melibatkan kelengkapan aset dan peralatan serta latihan pemantapan pegawai dan anggotanya.
“Arahan sudah dikeluarkan di semua peringkat untuk memastikan peralatan dalam keadaan baik termasuk latihan persediaan operasi kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) Kolej Komuniti Negeri Sabah 2017 di Dewan Sri di sini pada Isnin.
Katanya, APM sudah menerima tambahan aset 61 lori lima tan, termasuk lima unit di Sabah sebagai tambahan kepada 47 unit sedia ada yang terdapat di seluruh negara.
Menurutnya, aset itu amat penting jika situasi memerlukan untuk menjalankan operasi pemindahan mangsa kerana mampu melepasi air tinggi sehingga hampir lima meter.
Aset lain, bot 32 kaki (14 unit), bot Sealages (23 unit), lori handalan tiga tan (55 unit), lori penyelamat (31 unit), lori pasukan khas (dua), ambulans (210 unit), pacuan empat roda (178 unit) serta beberapa lagi.
“Setiap negeri diperuntukkan minimum 1,000 hingga 2,000 anggota APM untuk digerakkan membantu dalam operasi menyelamat mangsa bencana alam.
“Pegawai dan anggota APM juga bertindak sebagai sektretariat di peringkat negeri dan daerah yang menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Roslan berkata APM juga berganding-bahu dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) serta menjalin kerjasama dengan komuniti setempat.
Utusan Borneo difahamkan terdapat 17 pejabat APM di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang boleh memainkan peranan dalam menarik minat masyarakat setempat.
Khususnya dalam usaha melibatkan masyarakat menyertai pasukan sebagai barisan hadapan memberikan bantuan awal jika berlaku bencana yang tidak diduga.
Menyentuh PISPA pula, Roslan berkata ia sudah mula aktif dan latihan diberikan ke arah memastikan pegawainya lebih cekap semasa berkhidmat.
Majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Pispa Negeri Sabah Mohammad Rashid Saad itu menyaksikan acara pemakaian pangkat kepada empat Pegawai Bersekutu ke Mejar Bersekutu.
Selain itu, 21 pegawai lantikan baharu sebagai Kapten Bersekutu dan penyerahan Sijil Tamat Latihan Asas PISPA KK Sabah kepada 370 pelatih APM dari lapan Kolej Komuniti (KK) di Sabah.