Anda di sini

Tempoh tahanan reman Shafie dilanjut empat hari lagi

Advertisement
 Shafie ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi semalam bagi mendengar keputusan permohonan berhubung penahanan remannya oleh SPRM dinilai semula. — Gambar Bernama
DIREMAN: Shafie ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi semalam bagi mendengar keputusan permohonan berhubung penahanan remannya oleh SPRM dinilai semula. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Tempoh tahanan reman bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion dilanjutkan empat hari lagi.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Pegawai Pendakwanya Rustam Anip, Rozanna Abdul Hadi dan Faliq Basiruddin.

Rustam ketika ditemui pemberita berkata SPRM memohon supaya tempoh tahanan reman Shafie dilanjutkan tujuh hari namun mahkamah cuma membenarkan empat hari.

Sebelum itu, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Hakim Ismail Brahim menolak permohonan Shafie untuk menilai semula  penahanan tahanan remannya mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah oleh SPRM.

Pegawai Pendakwa SPRM Rustam Anip dalam hujahnya berkata SPRM mempunyai bidang kuasa yang sama dengan polis dan dengan itu SPRM boleh menggunakan seksyen berkenaan untuk menahan Shafie bagi melengkapkan siasatannya.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen kawasan Semporna ditahan SPRM pada 19 Okt lalu di pejabat SPRM kira-kira jam 9 malam ketika datang ke pejabat agensi berkenaan untuk memberi keterangan. — Bernama

Advertisement