Melengkapkan pertumbuhan sektor pelancongan dan perkhidmatan
KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan pembinaan hotel bagi melengkapkan pertumbuhan ekonomi semasa negeri ini yang sebahagiannya bergantung kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan.
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata perkhidmatan seperti hotel adalah sangat penting selain pembangunan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan.
“Usaha mempromosi Sabah sangat bergantung kepada kerjasama dengan rakan kongsi yang tepat daripada sektor swasta dan persatuan pelancongan.
“Oleh itu pembinaan Hotel Mercure Kota Kinabalu sangat dialu-alukan dan saya memberi jaminan bahawa keputusan membuat pelaburan di sini adalah sangat tepat,” katanya ketika berucap merasmikan hotel itu di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus komited membangunkan sektor pelancongan dengan kerjasama entiti persendirian.
“Sektor pelancongan akan terus membantu membangunkan ekonomi di negeri ini. Sabah mempunyai pelbagai produk pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong serta destinasi pelancongan yang memiliki sumber alam sekitar menarik dan kepelbagaian makanan serta budaya.
“Oleh itu kita telah mengambil langkah memastikan produk pelancongan di Sabah terus kekal dan mapan. Kita memberi tumpuan untuk memastikan warisan semula jadi terus dilindungi,” kata Musa.
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah itu berkata pihaknya berharap agar lebih ramai pelabur, sama ada dari dalam atau luar negara melihat potensi yang ditawarkan, khususnya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan. — Bernama