Anda di sini

Pembantu perubatan dipenjara miliki bahan berkaitan Daesh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu perubatan sebuah hospital kerajaan di Pahang dihukum penjara tiga tahun semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam akaun Facebooknya, April lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Khairul Azhar Hasan, 36, atas kesalahan itu dalam akaun Facebook miliknya atas nama ‘Khairulazhar Hasan’.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula pada tarikh tangkap 12 Mac lepas.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata sebagai penjawat awam, tertuduh tidak sepatutnya  melibatkan diri dalam keadaan yang boleh menjejaskan faktor keselamatan dan keamanan negara dengan memberikan sokongan sertapandangan kepada kumpulan pengganas di laman sosial.

Bermula dengan rasa simpati terhadap penderitaan rakyat Syria, tertuduh mula memberikan derma antara RM50 hingga RM100 setiap bulan.Tertuduh mula bertindak berkongsi berita–berita berkaitan Syria di laman Facebooknya.

Sekiranya tidak dihalang tidak mustahil tertuduh akan menjadi simpati dan sanggup menyumbang tenaga untuk berjuang bersama kumpulan pengganas,” kata Mohd Sofian mengenai bapa empat anak itu.

Mohd Khairul Azhar melakukan perbuatan itu di tingkat 24, Bahagian E8 Cawangan Khas, Bukit Aman pada 12.20 tengah hari, 3 April lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Hezri Shaharil manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan pengetahuan telah memiliki lapan bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam akaun Facebook miliknya sebelum ditahan polis apabila mengaku mempunyai satu akaun Facebook atas nama ‘Khairulazhar Hasan’. — Bernama

Advertisement