Anda di sini

Nurul Izzah jumpa Jacel Kiram dianggap penderhaka negara

Advertisement

Jacel Kiram ada kaitan dengan insiden ceroboh Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa beliau menganggap tindakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, adalah sebagai penderhakaan kepada negara.

Ismail Sabri, 57, berkata beliau berpandangan sedemikian kerana Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai telah bertemu dengan individu yang dikaitkan dengan kumpulan yang mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Ahli Parlimen Bera, Pahang itu berkata insiden berkenaan telah menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara serta menyebabkan beberapa anggota keselamatan terkorban.

Saya juga berpendapat perbuatan Nurul Izzah boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015,” katanya ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Nurul Izzah terhadapnya dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar atas dakwaan mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah berhubung gambar pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram.

Semasa pemeriksaan balas peguam R. Sivarasa yang mewakili Nurul Izzah, Ismail Sabri, yang juga defendan kedua dalam kes saman itu berkata kenyataan tersebut dibuat ketika beliau menghadiri Majlis Berkhatan Perdana 2015 anjuran Pemuda UMNO di Dewan Rakan Muda Bera, Pahang pada 22 Nov 2015.

Saya mengeluarkan kenyataan itu selepas disoal wartawan berhubung foto pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram yang dimuat naik di dalam akaun Facebook oleh anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu berkenaan pada 9 Nov 2015,” katanya.

Ismail Sabri berkata tindakan Nurul Izzah berjumpa dengan Jacel Kiram adalah isu semasa yang hangat diperkatakan dan menarik perhatian awam kerana ia mengingatkan semula masyarakat kepada insiden pencerobohan di Sabah, didalangi individu yang mengaku sebagai Sultan Sulu yang juga bapa kepada kepada Jacel Kiram iaitu Jamalul Kiram III.

Akibat daripada tindakan Nurul Izzah, pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan dan persepsi masing-masing dan saya adalah salah seorang yang telah diminta untuk memberikan pandangan mengenai tindakan Nurul Izzah itu,” katanya.

Ismail Sabri turut memberitahu mahkamah bahawa kenyataan itu dikeluarkan selaras dengan peranan dan tanggungjawabnya sebagai menteri dan pemimpin negara yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berhubung kepentingan negara.

Sebagai seorang menteri, Ahli Parlimen dan wakil rakyat, saya bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat implikasi pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram kerana insiden pencerobohan di Lahad Datu oleh tentera Sulu adalah isu negara yang mempunyai kesan dan impak kepada rakyat serta mencederakan perasaan orang Sabah dan waris ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab pemeriksaan balas Sivarasa, Ismail Sabri turut menafikan beliau menuduh Nurul Izzah sebagai penderhaka sebaliknya kenyataan yang dikeluarkan adalah sekadar pandangannya.

Saya tidak menyebut atau mengisytiharkan dia (Nurul Izzah) sebagai penderhaka tetapi itu adalah pandangan saya terhadap tindakannya. Tuduhan dan pandangan adalah dua perkara yang berbeza,” jelasnya.

Ismail Sabri turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui dua kenyataan yang dimuat naik Nurul Izzah di dalam Facebooknya bagi memberi penjelasan berhubung pertemuannya dengan Jacel Kiram.

Jika dia (Nurul Izzah) seorang yang jujur, dia sepatutnya membuat sidang akhbar bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu dan bukannya memuat naik kenyataan dalam Facebooknya,” katanya.

Perbicaraan kes saman itu selesai selepas Ismail Sabri yang merupakan saksi terakhir memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 11 Ogos lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin  menetapkan 16 Nov untuk  pengurusan kes selepas Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom yang mewakili Ismail Sabri memaklumkan tiada lagi saksi yang akan dipanggil dan memohon supaya kes itu ditutup.

Nurul Izzah memfailkan saman itu pada 26 Nov 2015 dengan mendakwa Khalid telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pada 22 Nov 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata perkataan fitnah itu dikeluarkan selepas beberapa hari gambar yang memaparkannya (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram yang dikatakan mengarahkan atau mengetuai serangan dan pencerobohan ke atas Sabah, pada 2013.

Beliau juga mendakwa pada hari sama (22 Nov 2015), Ismail Sabri juga mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam sidang media pada satu majlis di Bera, Pahang yang dalam makna asal atau biasa, bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. — Bernama

Advertisement