Anda di sini

Lelaki dipenjara, denda, kerana umpil kerusi urut isi minyak motor

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengumpil sebuah mesin kerusi urut di kedai dobi untuk mendapatkan wang bagi mengisi minyak motor, seorang pemandu van dipenjara lima hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman itu ke atas J. Sarawanan, 29, selepas dia mengaku bersalah mencuri wang tunai RM145  di kedai berkenaan di Bukit Indah, Ampang Jaya, di sini pada 9.14 malam, 23 Julai lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda atas kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574) itu.

Mengikut  fakta kes, seorang jiran berdekatan kedai dobi itu menghubungi pemilik premis berkenaan selepas terlihat seorang lelaki dalam keadaan  mencurigakan di kedai dobi tersebut. Lelaki itu ditangkap oleh rakan mangsa dan orang awam sebelum diserah kepada polis.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, seorang bapa sembilan anak didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan atas tuduhan mencuri pelbagai barangan Februari lepas.

Herman Syah, 47, menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Peniaga pasar malam itu didakwa mencuri pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, beg tangan dan wang tunai RM500 dari sebuah kereta yang diletak di tepi jalan di PJU 10/1, Damansara Damai dekat sini, pada 8.15 malam, 3 Feb lepas. — Bernama

Advertisement