Anda di sini

Kota Gaza bimbang keadaan kembar siam

Advertisement
 Kembar siam Palestin yang baharu sehari dilahirkan ditempatkan dalam inkubator di nurseri Hospital al-Shifa di Kota Gaza, kelmarin. — Gambar AFP
UNIK: Kembar siam Palestin yang baharu sehari dilahirkan ditempatkan dalam inkubator di nurseri Hospital al-Shifa di Kota Gaza, kelmarin. — Gambar AFP

KOTA GAZA: Kembar Siam yang dilahirkan di Kota Gaza kelmarin perlu meninggalkan wilayah terkepung Palestin itu untuk mendapatkan rawatan penting agar mereka terus hidup, menurut doktor dan ahli keluarga mereka.

Seorang wanita telah melahirkan pada pagi ini kembar siam yang bercantum di perut dan pinggul,” kata Allam Abu Hamda, ketua unit neonatal di Hospital al-Shifa di Kota Gaza.

Abu Hamda menyatakan keadaan bayi perempuan terbabit tidak membolehkannya dirawat di Semenanjung Gaza, justeru kami berharap mereka dapat dipindahkan ke luar negara bagi pembedahan pemisahan.

Seorang bapa saudara mereka yang meminta tidak dinyatakan namanya berkata: “Kami berharap mereka dibenarkan keluar dari wilayah ini untuk menangani situasi mereka yang pelik.”

Kembar siam, yang mana keadaan mereka menurut Abu Hamda sebagai stabil, berkongsi sepasang kaki namun jantung dan paru-paru mereka berasingan.

Kembar siam yang dilahirkan di Kota Gaza pada November 2016 telah meninggal dunia.

Israel mengekalkan kepungan sedekad ke atas wilayah itu atas alasan kebimbangan keselamatan berikutan pemerintahan Hamas.

Pada 2010, kembar siam dari Gaza dipindahkan ke Arab Saudi bagi pembedahan untuk memisahkan mereka, namun para doktor di Riyadh menyatakan keadaan mereka terlalu sensitif untuk dibedah dan akhirnya mati.

Dalam perkembangan berasingan, pergerakan Hamas berkata kelmarin bahawa satu lawatan delegasinya ke Iran merupakan petanda penolakan terhadap syarat rejim Israel mengenai penyatuan semula dengan pergerakan pesaingnya Fatah.

Dua kumpulan utama Palestin itu telah mempersetujui perjanjian yang sepatutnya menyaksikan Hamas menyerahkan kawalan ke atas Semenanjung Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang didominasi Fatah di Tebing Barat.

Israel berkata ia akan menolak sebarang perjanjian yang tidak menuntut gencatan senjata Hamas dan memutuskan hubungannya dengan Iran, seteru ketat rejim.

Di sebalik syarat tersebut, delegasi para pemimpin kanan Hamas tiba di Iran pada Jumaat lalu untuk bertemu para pegawai kerajaan.

Dalam satu kenyataan, timbalan pemimpin Hamas Saleh al-Aruri yang mengetuai delegasi berkata: “Lawatan ke Tehran dibuat bagi menolak syarat entiti Zionis untuk memutuskan hubungan dengan Iran.”

Kenyataan tersebut turut menegaskan Hamas sama sekali enggan menggencat sayap bersenjatanya.

Hamas telah terbabit dalam tiga perang dengan rejim Israel sejak 2008.

Ketua pergerakan terbabit berkata baru-baru ini bahawa hubungan dengan Iran kembali mesra dengan Tehran menjadi penyokong utama mereka setelah bertahun-tahun hubungan lebih tegang.

Hamas memerintah Gaza sejak memenangi pilihan raya pada 2007. — AFP

Advertisement