Anda di sini

Kemaraan kuat Lan di Jepun, lima terkorban

Advertisement
 Sebatang jalan runtuh susulan hujan lebat ketika Lan membadai Kishiwada dalam gambar rakaman Kyodo semalam. — Gambar Reuters
TERJEJAS TERUK: Sebatang jalan runtuh susulan hujan lebat ketika Lan membadai Kishiwada dalam gambar rakaman Kyodo semalam. — Gambar Reuters

TOKYO: Taufan Lan membadai kuat Jepun semalam, mengakibatkan lima maut, seorang hilang dan puluhan cedera, sebelum mara ke utara luar pantai Pasifik selepas berjuta-juta pengundi bergelut untuk membuang undi dalam pilihan raya umum.

Pihak berkuasa menasihati ribuan penduduk di kawasan pesisiran pantai atau sungai untuk berpindah sebelum Lan yang digambarkan amat besar dan kuat, membadai Tokyo dan wilayah sekitarnya awal pagi semalam.

Taufan itu meninggalkan kepulauan Jepun sekitar jam 9 pagi selepas mendarat di Shizuoka, barat daya Tokyo, kira-kira enam jam sebelumnya, menurut agensi kaji cuaca.

Ribut yang sudahpun menyebabkan hujan lebat di seluruh negara sepanjang hujung minggu, membawa angin kencang sekuat 162 kilometer sejam, menurut agensi.

Taufan meragut mangsa pertamanya kelmarin setelah seorang lelaki mati ditimpa perancah ketika melalui tapak pembinaan di Fukuoka, barat Jepun.

Juga di wilayah sama, seorang lelaki berusia 70 tahun ditemui mati di Yamaguchi selepas terjun ke laut untuk mengambil tali dari kapal lain dalam cubaan melepaskan diri dari botnya yang bermasalah, menurut pengawal pantai.

Di daerah Osaka, seorang lelaki berusia 80-an mati setelah dihempap bidai yang tercabut ditiup angin kuat manakala seorang wanita berusia 60-an ditemui mati dalam keretanya yang ditenggelami air, menurut pegawai tempatan.

Mayat seorang lelaki juga ditemui dalam kereta yang ditenggelami air di daerah tengah Mie.

Seorang lelaki berusia 61 tahun hilang selepas pergi memancing kelmarin di daerah timur Ibaraki.

Lebih 130 cedera. — AFP

Advertisement