Anda di sini

Bekas pengurus didakwa kemuka dokumen palsu

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus projek sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menipu, bagi memperoleh tender projek menaik taraf plaza Tol Skudai di Johor Bharu, tiga tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Farouk A. Manap, 43, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu  selepas jurubahasa membacakan  pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Farouk didakwa memperdaya Pengarah Syarikat Tirai Jitu (M) Sdn Bhd Hanizah Huda Harun untuk mempercayai bahawa sijil Perakuan Pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atas nama syarikat itu yang dikemukakan oleh tertuduh adalah tulen sehingga mendorong Haniza membayar RM5,000 kepada tertuduh bagi memperoleh projek menaik taraf tol berkenaan.

Mohd Farouk didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan 3, Batu Caves Centre Point, Gombak dekat sini pada 31 Okt 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara  tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu sijil Perakuan Pendaftaran CIDB tersebut kepada Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) bagi tujuan mendapatkan projek yang sama bernilai RM1.98 juta.

Mohd Farouk didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Oktober  2014 hingga Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Nabila Kamaruddin mencadangkan jaminan RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua kes, bagaimanapun mahkamah kemudian mengenakan ikat jamin RM20,000 terhadap kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 22 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement