Anda di sini

Aktiviti pelancongan tidak terjejas

Advertisement

KOTA KINABALU: Aktiviti pelancongan tidak terjejas berikutan berlakunya runtuhan batu di lereng Gunung Kinabalu berhampiran Sungai Mesilou 2, Kampung Mesilou Kundasang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, aktiviti pelancongan di kawasan sekitar Gunung Kinabalu berjalan seperti biasa.

Insiden itu tidak menjejaskan aktiviti pelancongan sama sekali di sana.

Apa yang menjejaskan aktiviti pelancongan seperti pendakian Gunung Kinabalu adalah hujan lebat berterusan baru-baru ini menyebabkan permukaan gunung agak licin dan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Mitsubishi 4S Sebangga Dunia Sdn Bhd, di sini pada Ahad.

Katanya, runtuhan batu yang berlaku di Gunung Kinabalu itu berkemungkinan disebabkan oleh gempa bumi pada 2015.

Hujan lebat dan angin kencang yang terhasil dari Taufan Lan yang melanda Filipina sejak 15 Oktober lalu berkemungkinan menyebabkan runtuhan batu di Gunung Kinabalu.

Dalam pada itu, kelonggaran yang berlaku pada sebahagian daripada permukaan granit Gunung Kinabalu pada 2015 itu mula jatuh,” katanya.

Jelasnya, seperti mana kenyataan Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais menerusi laman Facebooknya, Gunung Kinabalu kini dalam proses penstabilan selepas berlakunya gempa bumi dua tahun lalu di kawasan itu.

Sementara itu, Masidi menasihatkan kepada penduduk sekitar yang mana berlakunya insiden berkenaan agar tidak risau dengan keadaan itu.

Kejadian runtuhan batu itu terletak 1.5 kilometer sebelah ulu bekas Mesilau Nature Resort dekat Stesen Taman Kinabalu Masilou,” katanya.

Advertisement