Anda di sini

50 hilang tempat tinggal, lima rumah musnah

Advertisement
 Penduduk kampung dan anggota bomba berganding bahu mencari jalan untuk mencegah api daripada terus merebak.
MARAK: Penduduk kampung dan anggota bomba berganding bahu mencari jalan untuk mencegah api daripada terus merebak.

TAWAU: Sekurang-kurangnya 50 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Kg Seri Menanti di sini, kira-kira jam 10.45 pagi Ahad.

Utusan Borneo yang turut berada di lokasi kejadian mendapati api berjaya dikawal dengan pantas hasil kerjasama penduduk kampung dengan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Mangsa, Aisah Josep, 44, berkata kebakaran terbabit mula disedarinya ketika sedang bersiap-siap hendak pergi ke Pasar Tamu Takada selepas dimaklumkan oleh anaknya.

Anak saya beritahu ada asap dan bau seperti wayar terbakar, namun ketika itu saya mengesyaki mungkin ada orang bakar sampah, tetapi peliknya api keluar dari bilik.

Saya kemudiannya bergegas ke bilik di bawah rumah dan menendang pintu sebelum mendapati api sudah mula marak dan tidak sempat untuk dipadamkan,” katanya.

Berikutan itu, Aisah serta ahli keluarganya yang lain terus menyelamatkan diri dan cuba mendapatkan dokumen-dokumen penting mereka sebelum keluar dari rumah.

Beliau berkata, tiada perkataan yang dapat digambarkan terhadap musibah yang menimpa dirinya sekeluarga, namun bersyukur kerana sekurang-kurangnya semua mereka selamat.

Saya berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil rakyat dapat turun padang memberikan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau merangkap Ketua Operasi Ismaidi Ismail berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 10.49 pagi dan tidak ada kes kecederaan dilaporkan.

Menurutnya, api berjaya dikawal selang kira-kira 50 minit usaha memadam dan mengawal kebakaran dijalankan oleh bomba dengan bantuan penduduk kampung.

Kita diperkuatkan dengan tiga jentera memadam api, 19 anggota bomba dan 18 anggota bomba sukarela serta turut dibantu oleh penguat kuasa lain dan penduduk kampung.

Kita berharap orang ramai akan lebih berhati-hati khususnya semasa memasak kerana banyak kes di daerah ini berpunca akibat kecuaian semasa memasak,” katanya.

Menyentuh kes berkaitan pula, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar dan jumlah kerugian akibat kejadian yang berlaku.

Advertisement