Anda di sini

Shafie Apdal direman empat hari

Advertisement

Bantu siasatan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah

 Mohd Shafie direman selama empat hari di Kota Kinabalu mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.  — Gambar Bernama
BANTU SIASATAN: Mohd Shafie direman selama empat hari di Kota Kinabalu mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal direman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan Mohd Shafie, 60, sehingga 23 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah ditahan kira-kira jam 9 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah. Sementara itu, seorang jurutera awam yang juga perunding sebuah syarikat, Amarjit Singh turut direman selama enam hari bermula semalam.

Amarjit, 47, ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah kelmarin berhubung penyelewengan dana berkenaan.

Dengan penahanan Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan jurutera berkenaan, jumlah individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan isu dana di Sabah kini berjumlah 11 orang. Dua daripada 11 individu berkenaan ialah adik kepada Mohd Shafie iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Yusof Apdal dan Hamid Apdal.

Daripada jumlah itu, lapan daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. — Bernama

Advertisement