Anda di sini

Remaja wanita didakwa sembunyi kelahiran dengan membuang mayat bayi

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang remaja wanita yang masih dalam pantang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi  lelaki dua minggu lepas.

Alita Waang, 19, yang bekerja sebagai pembantu restoran, mengaku tidak  bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Subang Jaya, di sini, pada 10.50 malam, 14 Okt lepas mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau  denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya  Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh masih dalam pantang dan hanya berpendapatan RM650 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang hanya menundukkan kepalanya itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement