Anda di sini

Pengarah syarikat didakwa salah guna wang individu

Advertisement

IPOH: Dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh semalam atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang milik seorang wanita dua tahun lepas. K Selva Rajah, 45, dan Jazlan Abdullah, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Kedua-dua tertuduh didakwa menyalahgunakan wang milik Fatimah Shamsulaman, 55, berjumlah RM13,500 yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik Sunner Group International Berhad pada 23 Nov 2015, kira-kira jam 10.04 pagi di Maybank Station 18 di sini.

Mereka juga didakwa menyalahgunakan wang RM14,000 milik wanita sama yang dimasukkan ke akaun sama pada jam 11.40 pagi, 24 Nov 2015 di Public Bank Jalan Pasir Puteh, di sini.

Kedua-dua pengarah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam bela tertuduh, K Hari Krishnan bagaimanapun memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah ikat jamin kepada RM2,000 setiap seorang sebelum Siti Hafiza menetapkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 9 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement