Anda di sini

New Delhi diselubungi jerebu toksik

Advertisement

Susulan pertunjukan bunga api Diwali menyebabkan kualiti udara merosot teruk

 Penduduk mengharungi jerebu tebal ketika membuat perjalanan melalui lebuh raya di New Delhi, India. — Gambar Reuters
DICEMARI JEREBU: Penduduk mengharungi jerebu tebal ketika membuat perjalanan melalui lebuh raya di New Delhi, India. — Gambar Reuters

NEW DELHI: New Delhi diselubungi jerebu toksik tebal semalam selepas pertunjukan bunga api Diwali semalaman yang menyebabkan kualiti udara merosot di sebalik pengharaman penjualan bunga api bertujuan untuk menghalang ber-ulangnya ‘bencana udara’.

Mahkamah Agung di India telah mengharamkan penjualan bunga api sebelum perayaan umat Hindu bagi menghalang berulangnya krisis pencemaran udara pasca Diwali pada tahun lepas yang menyebabkan 20 juta penduduk New Delhi mengalami masalah pernafasan selama beberapa minggu.

Namun pada lewat kelmarin bacaan bagi pencemaran telah berada sekitar 1,100 mikrogram meter persegi di beberapa bahagian di bandar – 11 kali di atas paras kualiti udara yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Data kualiti udara daripada Jawatankuasa Pusat Pencemaran New Delhi menunjukkan paras pencemaran di sebuah kawasan kediaman sesak mencecah 1,179 pada sekitar waktu tengah malam ketika pertunjukan bunga api mencapai kemuncak.

Penduduk di New Delhi, dikatakan sebagai bandar paling tercemar oleh WHO pada 2014, ternyata tidak mempedulikan pengharaman tersebut, membeli mercun secara haram atau menggunakan mercun yang telah dibeli lebih awal.

Paras tersebut mulai ber-kurangan sepanjang malam namun masih lagi “berbahaya” di beberapa daerah di sekitar bandar utama pada pagi semalam.

Paras PM2.5 – partikel halus yang dikaitkan dengan kadar lebih tinggi untuk batuk kronik, kanser paru-paru dan penyakit jantung – telah berkurangan sejak  permulaan bulan Oktober ketika berjuta-juta peladang di bahagian utara bandar membakar baki tanaman pasca menuai.

Kualiti udara di bandar ini perlahan-lahan bertambah teruk sebelum menjelang musim sejuk, satu kesan daripada urbanisasi pesat yang membawa pencemaran akibat minyak diesel, loji kuasa berkuasakan batu arang, pengeluaran perindustrian dan debu atmosfera.

Pada 9 Oktober mahkamah mengharamkan penjualan bunga api di sekitar bandar dengan jangkaan akan berulangnya pencemaran yang membahayakan seperti tahun lepas. Namun ia tidak meletakkan sebarang sekatan bagi pembakaran bunga api.

Pada tahun lepas sambutan Diwali meningkatkan paras pencemaran kepada rekod tinggi – terburuk sejak hampir dua dekad – memaksa kerajaan menutup sekolah dan loji tenaga yang menggunakan pembakaran batu arang. — AFP

Advertisement