Anda di sini

Anak ugut bunuh ibu bapa direman tiga hari

Advertisement

MIRI: Anak lelaki pasangan warga emas diarah reman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan jenayah ugut bunuh terhadap ibu bapanya menyebabkan pasangan itu ketakutan dan terpaksa tidur dalam kereta.

Suspek, 42, dari Lorong 2 Krokop di sini diperintahkan supaya menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan penolong pegawai penyiasat Sarjan Mohd Sani Mohd Nor, seorang wanita warga emas membuat laporan polis dengan mendakwa diugut anaknya.

Dalam aduannya, pengadu, 66, mendakwa sekitar jam 9 pagi, 18 Oktober lalu, anak lelakinya bertindak agresif dengan membaling barang di rumah hingga menyebabkan perabot pecah dan rosak.

Melihat keadaan itu, pengadu dan suami cuba menegurnya sebaliknya suspek telah mengugut mahu membunuh kedua-dua mereka.

Pengadu dan suami terpaksa tidur di dalam kereta kerana takut akan diapa-apakan oleh suspek.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.25 petang, 19 Oktober lalu, sepasukan polis diketuai Inspektor Mohamad Asyraq Raime telah menangkap suspek di rumahnya di Krokop 2 di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Sani memberitahu reman selama empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan suspek dan saksi-saksi terlibat, justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan polis.

Namun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek dan reman akan tamat 23 Oktober ini.

Advertisement