Anda di sini

Lelaki mengaku tuduhan mencuri, merompak dipenjara enam tahun

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang didakwa dengan dua tuduhan mencuri dan merompak telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Ngu Yu Soon menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak yang dibacakan bersama dengan Seksyen 34 dalam kanun yang sama.

Seksyen ini memperuntuk suatu tempoh penjara yang boleh sampai hingga tujuh tahun juga boleh dikenakan denda termasuk hukuman penjara yang dijalankan secara serentak.

Dia didakwa bersama seorang remaja berusia 16 tahun dan menurut petuduhan, mereka melakukan kesalahan itu pada 10 Oktober  lalu pada jam 5.20 pagi di sebuah kedai kopi di Jalan Kampung Datu.

Mereka cuba merompak dua orang asing yang dikenali sebagai Shafiq dan Abdul Manan yang merupakan pekerja kedai itu.

Berdasarkan fakta kes, ketika dua mangsa sedang melakukan kerja rutin membuka kedai terbabit, ada dua  lelaki muncul dengan wajah bertutup.

Tertuduh meminta pekerja terbabit memberi wang dan mengancam mencederakan mereka dengan tongkat kayu.

Apabila pekerja terbabit memberitahu mereka tidak mempunyai wang, tertuduh meminta rokok.

Walau bagaimanapun, apabila pekerja tidak memberi rokok, kedua-dua tertuduh keluar dari kedai.

Berdasarkan siasatan, didapati kedua-dua tertuduh cuba merompak dan dilihat oleh mangsa dan kejadian direkod oleh kamera litar tertutup (CCTV) di tempat terbabit.

Untuk kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada Ngu untuk setiap pertuduhan dan hukuman itu dijalankan secara serentak.

Bagi remaja terbabit, dia dibenar dibebas dengan ikat jamin RM200 oleh ibunya sebagai penjamin.

Dia dikehendaki melaporkan dirinya di Balai Polis Sentral Sibu sekali seminggu dan hadir di mahkamah untuk laporan percubaannya pada 23 November ini jam 9 pagi.

Sementara itu, di mahkamah  sama, seorang lelaki berusia 38 tahun, Yong Ruey Shyang yang didakwa melakukan pecah rumah telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Dia dibenarkan untuk dibebaskan dengan jaminan RM1,500 dengan dua penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan itu, Yong didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Oktober 2017 kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Teku.

Dia didakwa telah mencuri barangan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM6,900.

Barang-barang itu termasuk silinder gas, bateri kereta, dua unit telefon bimbit jenama Asus, dua unit pembesar suara, satu unit pam air, dua pasang kasut Adidas, satu unit grain, set kimpalan dan wang tunai RM3,000.

Dia dikehendaki hadir semula di mahkamah pada 6 November ini untuk sebutan dan pendengaran semula kes.

Advertisement