Anda di sini

Kes lelaki rompak pelajar disebut lanjut 20 November

Advertisement

MIRI: Mahkamah Sesyen menetapkan 20 November depan sebutan lanjut kes seorang lelaki dituduh melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelajar.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Steve Ritikos bagi membolehkan tertuduh menyerahkan butiran alibi bela diri yang menyatakan nama tempat dan nama individu yang boleh dipanggil memberi keterangan alibi.

Ang Sau Hui, 39, dari Jalan Aru, Holiday Park di sini telah dituduh melakukan rompakan berkumpulan dengan merompak wang tunai RM1,150, satu unit telefon bimbit dan satu unit Power Bank daripada Wan Mohd Firdaus Wan Saini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.10 pagi, 18 Mac tahun ini di kawasan letak kereta berhampiran sebuah hotel bajet di Jalan Lee Tak di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah memberitahu bahawa pagi semalam ditetapkan untuk pengurusan kes dan memohon agar tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu 12 hingga 16 Mac 2018 dikekalkan.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu tertuduh bahawa dia boleh membangkitkan alibi bela diri dalam kes.

Manakala tertuduh yang gagal membayar jaminan tunai RM20,000 berserta dua penjamin tempatan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement