Anda di sini

Hanya seorang tuai rumah bagi setiap rumah panjang, kata Joseph Salang

Advertisement

JULAU: Hanya seorang sahaja dibenarkan dan layak menjadi ketua atau tuai rumah bagi setiap rumah panjang, kata Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang (gambar).

Jelasnya, sangat menyedihkan apabila terdapat lebih daripada seorang individu menuntut jawatan sama dalam satu rumah panjang.

Ujarnya, ini secara tidak langsung akan mempengaruhi perpaduan, keharmonian dan hubungan mereka dalam rumah panjang berkenaan.

“Kami ada mendengar insiden rumah panjang terbahagi kepada dua apabila penduduk membina dinding di bahagian ruai dan beranda dengan tujuan memisahkan diri dengan puak penyokong lain.

“Perbuatan seperti ini perlu dihentikan,” katanya dalam satu majlis yang diadakan di daerah berkenaan kelmarin.

Menurut Salang, mereka atau individu bercita-cita menjadi pemimpin mesti mendapat sokongan rakyat selain turut dipersetujui oleh penghulu dan pejabat daerah kawasan masing-masing.

“Keputusan akhir mengenai pelantikan tuai rumah akan diputus pegawai daerah. Jika anda melantik diri sendiri sebagai tuai rumah tanpa kelulusan kerajaan maka jawatan itu tidak diiktiraf dan tidak layak menerima elaun bulanan,” katanya.

Jelas beliau, hanya mereka yang benar-benar berdedikasi, komited dan disukai rakyat layak dipertimbang menjadi tuai rumah.

“Kita tidak mahu memiliki tuai rumah yang hanya mahukan jawatan tetapi tidak komited dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Advertisement