Anda di sini

Dato dan ibu ayam dibicara bersama

Advertisement
 Ahli perniagaan terbabit (kiri) bercakap sesuatu kepada peguam belanya, semalam.
BINCANG: Ahli perniagaan terbabit (kiri) bercakap sesuatu kepada peguam belanya, semalam.

MIRI: Mahkamah Sesyen memerintahkan kes seorang ahli perniagaan terkemuka bergelar Dato yang dituduh merogol seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan seorang ibu ayam yang dituduh malacurkan budak terbabit dibicarakan bersama.

Perbicaraan untuk kes itu ditetapkan selama lima hari dari 5 hingga 9 Mac 2018.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Steve Ritikos setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.

Dalam permohonannya, I’zzat memohon agar kes Dato terbabit dibicarakan bersama kes ibu ayam berkenaan kerana ia melibatkan saksi-saksi sama selain tempat dan masa kejadian yang dinyatakan dalam pertuduhan kes juga sama.

Tertuduh, 82, dari Piasau Jaya Fasa 1 di sini didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (D) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun serta tidak melebihi 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dituduh merogol seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan 11 bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.40 pagi, 31 Ogos lalu di sebuah bilik hotel bajet di Taman Jade Manis di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana didakwa merogol budak perempuan yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 malam, 11 September lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Masjid di sini.

Seksyen 376 (1) memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala, ibu ayam berusia 31 tahun dari Kampung Lereng Bukit di sini menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 372 (1) (d) Kanun Keseksaan dan dua tuduhan di bawah Seksyen 372 (1) (a) kanun sama yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh telah didakwa secara salah mengurung seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan 11 bulan dengan niat untuk dilacurkan kepada ahli perniagaan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12 pagi, 31 Ogos lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Cressandra di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menjual budak perempuan sama untuk tujuan dilacurkan kepada ahli perniagaan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.40 pagi, 31 Ogos lalu di sebuah bilik hotel bajet di Taman Jade Manis di sini dan jam 8 malam, 11 September lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Masjid di sini.

Terdahulu, menurut I’zzat, kes ditetapkan untuk pengurusan kes semalam dan pihak pendakwa telah menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada peguam bela Ranbir Singh yang mewakili ahli perniagaan berkenaan, dan juga kepada ibu ayam yang tidak diwakili mengikut peruntukan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa ahli perniagaan terbabit telah dihantar ke Hospital Miri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menentukan sama ada dia mengalami masalah mati pucuk atau sebaliknya.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November depan untuk sebutan lanjut kes bagi memantau keputusan pemeriksaan kesihatan tertuduh.

Ahli perniagaan berkenaan kemudian dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM15,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Sementara ibu ayam terbabit ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri kerana gagal menjelaskan jaminan berjumlah RM25,000 berserta dua penjamin tempatan.

Advertisement