Anda di sini

16 November sebutan lanjut dua lelaki dituduh bunuh mekanik

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 16 November depan untuk sebutan lanjut kes dua lelaki dituduh membunuh seorang mekanik di Senadin pada 14 Jun tahun ini.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenar permohonan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetap satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung  barang kes masih belum siap.

Michael Dunggau, 26, dari Jalan Pujut 1, Kampung Sungai Adong dan Elvis Reynoldo Arit, 25, dari Jalan Pujut 4, Terusan 3 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukum mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan tentatif, kedua-dua tertuduh telah dituduh mencapai niat bersama untuk melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Fadrick Lukas, 18.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.15 malam hingga 10.45 malam, 14 Jun lalu di hadapan sebuah rumah di Lot 2C/3 Desa Senadin Fasa 2 di sini.

Advertisement