Anda di sini

Dadah: Didenda RM2,300 atau penjara dua bulan

Advertisement

MIRI: Seorang pemuda didenda RM2,300 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Ching Yew Chai, 25, dari Vista Perdana, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.25 pagi, 13 Februari 2014 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1.28 gram (berat kasar).

Methamphetamine merupakan satu item yang disenaraikan di bawah Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.30 pagi, 12 Oktober lalu di rumahnya di Vista Perdana Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie membenarkan permohonan itu dan menetapkan 16 November ini untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,800 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement