Anda di sini

Kemudahan asas Pekan Tamparuli daif

Advertisement

TAMPARULI: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Majlis Daerah Tuaran mengatasi keadaan kemudahan asas yang daif di pekan ini.

“Majlis Daerah Tuaran perlu mengatasi perkara ini dengan bersungguh-sungguh,” katanya selepas melihat dengan sendiri keadaan penyelenggaraan perparitan dan saliran di kawasan pekan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mengetuai lebih 100 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti komponen Barisan nasional (BN) pada program gotong-royong MyBN NBOS untuk kawasan Parlimen Tuaran pada Sabtu, beliau juga menyatakan kekecewaan dengan kerja pembersihan saliran yang berada di tahap rendah, terutamanya berhampiran pasar basah dan Dewan Tun Hamdan.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hampir jatuh ke dalam saliran utama yang mempunyai kedalaman enam kaki selepas melangkah ke atas zink yang digunakan sebagai penutup bahagian atas parit berkenaan.

“Ini sangat berbahaya, sesiapa yang melalui kawasan ini akan berada dalam bahaya,” katanya.

Beliau juga mengkritik pihak berkuasa yang berkaitan kerana tekanan air rendah berhampiran Klinik Tamparuli.

Bomba yang turut hadir untuk membantu gotong-royong itu juga terpaksa mencari alternatif untuk mengepam air membersihkan saliran yang tersumbat.

Beliau juga mendapati pengusaha gerai berhampiran terpaksa menyimpan air dalam botol besar kerana masalah itu.

“Pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Majlis Daerah Tuaran perlu bertindak dengan semua isu ini, yang menjejaskan rakyat,” katanya.

Bagi tindakan masa depan, Madius berkata beliau akan menggunakan teknologi untuk membersihkan saliran yang tersumbat.

Semasa gotong-royong itu, pelbagai sisa buangan seperti gelen, tilam dan pecahan pinggan dilihat mengakibatkan saliran tersumbat.

Ia mengambil masa hampir dua jam untuk Madius dan sukarelawan dengan bantuan daripada anggota bomba untuk mengambil keluar sisa yang dibuang ke dalam parit dan akhirnya melancarkan aliran air.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di sini untuk turut berkongsi tanggungjawab dan mengelakkan daripada membuang sampah secara sembarangan.

“Pemikiran kita perlu berkembang secara positif selari dengan kemajuan negara kita,” katanya.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli Celestinus Lawanding.

Advertisement