Anda di sini

Jalan putus: Pairin minta penduduk bersabar

Advertisement

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meminta penduduk yang terlibat dalam kejadian jalan putus di Kampung Lalapakon, di sini agar bersabar.

“Saya akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk membaik pulih jalan berkenaan,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur semasa melakukan lawatan ke tempat kejadian itu di sini pada Sabtu.

Beliau juga menasihati penduduk kampung termasuk pengguna lain yang menggunakan laluan itu agar mengikut arahan daripada jabatan yang berkenaan bagi keselamatan mereka.

Pada masa sama, Pegawai Daerah Thomas Logijin yang turut serta dalam lawatan itu menasihati penduduk kampung terlibat agar bersabar.

“Sekiranya ada masalah berhubung perkara itu, mereka boleh berjumpa saya dengan datang ke Pejabat Daerah,” katanya.

Beliau berkata pengguna yang ingin ke Kota Kinabalu tidak mengalami masalah kerana jalan Tambunan-Kota Kinabalu tidak terlibat dalam kejadian itu.

Pada kejadian jam 9 pagi Sabtu, Jalan Lalapakon dalam kategori kritikal telah putus akibat hujan lebat dan ‘dislodged culvert’.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) memberitahu, jalan itu adalah laluan jalan negeri lokasi simpang Jalan Kimaranas.

Jarak jalan yang putus itu adalah 50 meter dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Para pengguna jalan dan penduduk kampung itu boleh menggunakan Jalan Pupuluton sebagai alternatif.

JKR dan pihak kontraktor penyelenggaraan jalan yang dilantik akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan awal dengan meletakkan papan tanda amaran di kawasan itu.

Turut serta dalam lawatan Pairin ialah Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur Welfredoline Jakil, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Silverius Bruno serta para pegawai JKR, Pejabat Daerah, Jabatan Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Advertisement