Anda di sini

Suk’ Biniek juara Kuching Waterfront Music Fest 2017

Advertisement
 Edwin (empat kiri) ditemani Alan (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada ahli kumpulan Suk’ Biniek di WMF 2017.
TAHNIAH: Edwin (empat kiri) ditemani Alan (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada ahli kumpulan Suk’ Biniek di WMF 2017.

KUCHING: Kumpulan Suk’ Biniek muncul juara di Kuching Waterfront Music Fest (WMF) 2017 yang telah diadakan di Godown Amphitheater, Tebingan Kuching malam kelmarin.

Ia dianggotai Adrian Zachary Vincent, John Meddy Kesmed, Samson Kidau Dzrandidi Desson, Mexjenssan Jumpong dan Joseph Kluivert Spencer Romuald yang semuanya berasal dari Pekan Bau.

Kami berlima sebenarnya masih lagi merupakan penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disini dan lagu ‘Datun Repo’ merupakan hasil ciptaan kumpulan kami sendiri,” kata Adrian kepada Utusan Borneo.

Persembahan unggul dan memukau Suk’ Biniek di WMF 2017 turut mendapat pujian daripada kalangan penonton yang merupakan pelancong dari luar negara.

Kelima-lima ahli kumpulan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Sebelum ini Suk’ Biniek turut disaingi Simfoni Kenyalang PKS di tempat kedua, dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil sementara Kumpulan Rawi di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM800, trofi dan sijil penyertaan.

Kumpulan yang juga telah mencuba nasib mereka adalah Imaginasi Music, Edan Kesmaran, Sanggalang, Hornbill Familia’s, Pinanak Sentah, Meruked, KGM Band dan Mystic Ethos.

Sejak dimulakan pada tahun 2010, WMF telah berjaya melahirkan dua kumpulan yang kian meningkat naik dan menempa nama serta mendapat undangan persembahan di dalam dan luar negeri.

Kumpulan Nading Rhapsody merupakan Johan WMF pada tahun 2015 dan At Adau (2016) telah masing-masing diberikan slot untuk membuat persembahan pentas semasa Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2017 pada Julai yang lepas.

Timbalan Pengurus Besar (Sektor Komersil) dan Pengarah Bahagian Pelancongan, Hospitaliti  dan Bahagian Perhubungan Komunikasi Korporat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Edwin Abit telah menyampaikan kesemua hadiah kepada para pemenang.

Beliau di dalam ucapan ringkasnya turut menggesa agar badan korporat dan badan bukan kerajaan yang berminat untuk turut sama menganjur WMF pada tahun mendatang agar lebih meriah.

Edwin menyokong platform bagi membuat persembahan muzik sedemikian disediakan bagi anak muda hari ini menunjukkan bakat mereka masing-masing.

Turut hadir sama adalah Pengurus Besar Sara Urusharta, Alan Poh.

  • oleh
  • Advertisement