Anda di sini

Sebutan kes penuntut UPNM di Mahkamah Tinggi pada 10 Nov

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 10 Nov ini.

Penolong Kanan Pendaftar, Nur Ain Mustapa menetapkan tarikh itu dalam kamarnya ketika pengurusan kes semalam yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz dan peguam Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus, Joshua Tay dan Nurul Syuhada Abdullah yang mewakili kesemua tertuduh.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya berumur 21 tahun.

Lima daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobirin didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan Osman, 21, di Bilik 04-10, Blok penginapan asrama Jebat UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, di sini antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakeem pula dituduh bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Nurakmal Farhan, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata pihak pendakwaan  telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes itu termasuk laporan bedah siasat kepada pihak pembelaan.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan dan mangsa dilaporkan mengalami kesan lecur pada bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Sementara itu, Hawa Osman, 54, ibu kepada Zulfarhan Osman, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, beliau dan keluarga akan sentiasa hadir pada prosiding kes itu bagi mengikut perkembangan kes anaknya.

Ini adalah satu tanggungjawab saya sebagai seorang ibu bagi mendapatkan pembelaan untuk arwah anak saya. — Bernama

Walaupun saya tahu kes ini akan mengambil masa beberapa tahun namun saya tetap akan terus mengikuti kes ini,” katanya yang memakai t-shirt tertera solidariti #justice4farhan #sayNOtoBULLY #humanity. — Bernama

Advertisement