Anda di sini

Pesawat nyaris nahas dilanggar dron di Kanada

Advertisement
 Gambar fail 16 Julai lalu menunjukkan pemandangan di sekitar Quebec City, Kanada. — Gambar AFP
BERBAHAYA: Gambar fail 16 Julai lalu menunjukkan pemandangan di sekitar Quebec City, Kanada. — Gambar AFP

MONTREAL: Sebuah pesawat penumpang Kanada nyaris nahas setelah dilanggar sebuah dron dalam kes pertama seumpamanya di negara itu, menurut menteri kabinet kelmarin.

Dengan jumlah alat penerbangan tanpa juruterbang semakin banyak di langit, pertembungan masih jarang berlaku, namun pihak berkuasa di seluruh dunia sedang melihat beberapa cara untuk mencegah nahas.

Insiden berlaku Khamis lepas ketika dron bertembung dengan pesawat domestik Skyjet yang sedang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Jean-Lesage di Quebec City, menurut Menteri Pengangkutan Marc Garneau.

Inilah kali pertama dron melanggar pesawat komersial di Kanada dan saya amat lega pesawat itu hanya mengalami masalah kerosakan kecil dan telah berjaya mendarat dengan selamat,” kata Garneau yang merupakan bekas angkasawan.

Pesawat membawa enam penumpang dan dua kru itu dilanggar pada sayap kanan pada altitud 450 meter, kira-kira tiga kilometer dari lapangan terbang, menurut akhbar Le Journal de Quebec.

Garneau memperingatkan pemilik dron bahawa sesiapa yang disabitkan membahayakan keselamatan pesawat akan berdepan denda sehingga C$25,000, penjara, atau kedua-duanya.

Peraturan Kanada menghalang penerbangan dron rekreasi melebihi 90 meter dan kurang 5.5 kilometer dari lapangan terbang.

Namun Garneau menyatakan tahun ini terdapat 131 insiden dron yang menimbulkan kebimbangan keselamatan penerbangan sekali gus menyaksikan lebih banyak peraturan ketat dikuatkuasakan.

Di bawah peraturan baharu, pemilik dikehendaki lulus ujian termasuk senarai nama dan alamat pada dron, selain had usia minimum kerana menggunakan dron di atas satu saiz tertentu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang menetapkan standard global bagi industri penerbangan, menerima 856 kes di seluruh dunia antara Januari 2013 dan Ogos 2015 mengenai dron yang terbang terlalu hampir dengan pesawat. — AFP

Advertisement