Anda di sini

Rasuah: China sasar bekas menteri kehakiman

Advertisement

BEIJING: Bekas menteri kehakiman China dipecat dari parti pemerintah Parti Komunis selepas siasatan pemantau antirasuah.

Wu Aiying, 65, menteri kehakiman dari 2005 sehingga Februari tahun ini, menurut kenyataan rasmi, dan antara pegawai kanan wanita di China.

Dalam kenyataan lewat kelmarin selepas mesyuarat empat hari Jawatankuasa Pusat parti, yang terbesar antara badan pemerintah elit, nama Wu disenaraikan sebagai salah seorang pegawai yang dipecat kerana rasuah.

Ketika nama-nama disenaraikan, termasuk bekas ketua parti bandar Chongqing Sun Zhengcai diumumkan sebelum ini, nama Wu tidak disebut dalam mana-mana siasatan.

Jawatankuasa Pusat Pemeriksaan Disiplin mendapati Wu mempunyai ‘masalah disiplin serius’, kiasan bagi rasuah, namun tidak memberikan maklumat lain.

Wu telah menghabiskan kebanyakan kariernya di wilayah  timur Shandong, di mana beliau telah muncul sebagai timbalan ketua parti wilayah, sebelum berpindah ke Beijing pada lewat 2003 untuk bertugas dalam Kementerian Kehakiman.

Pihak berkuasa perundangan China telah menjadi salah satu fokus bagi tindakan Presiden Xi Jinping terhadap kegiatan rasuah yang berakar umbi, dengan bekas ketua keselamatan domestik Zhou Yongkang, serta ramai sekutunya dan bekas rakan setugasnya telah dipenjarakan.

Setakat ini tidak dapat disahkan sama ada Wu mempunyai sebarang hubungan langsung dengan Zhou.

Akaun WeChat akhbar negara Beijing News, Political Matters, menyatakan bahawa Wu dikenali sebagai pegawai yang bersuara lantang dan amat berterus-terang.

Beliau didakwa pernah menjerit terhadap seorang pegawai bawahan ketika telefon bimbitnya berbunyi sewaktu bermesyuarat.

Pengumuman mengenai WU muncul beberapa hari sebelum parti merasmikan Kongres Rakyat setiap lima tahun pada Rabu ini yang akan menyaksikan Xi mem-perkukuh kuasanya dengan melantik sekutu dan pembantu  utama. — Reuters

Advertisement