Anda di sini

SPRM terkejut dengan keadaan PLBAKSI

Advertisement
 Dzulkifli menunjukkan isyarat ‘thumbs down’ semasa meninjau sendiri keadaan di Projek Loji Bekalan Air Kampung Sungai Intan.
MENGECEWAKAN: Dzulkifli menunjukkan isyarat ‘thumbs down’ semasa meninjau sendiri keadaan di Projek Loji Bekalan Air Kampung Sungai Intan.

SEMPORNA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad terkejut dengan keadaan Projek Loji Bekalan Air Kampung Sungai Intan (PLBAKSI) di sini.

Menurutnya, kegagalan projek yang terletak kira-kira 20km dari Pekan Semporna itu beroperasi menyebabkan penduduk sekitar menerima kesannya.

“Buat projek tetapi tidak boleh digunakan langsung, akhirnya siapa yang terkesan? 30 tahun penduduk di sini menunggu mengharapkan ada khabar gembira untuk mereka.

“Inilah antara isu yang mengecewakan penduduk di sini, lebih-lebih lagi kita difahamkan mereka di Kampung Sungai Intan ini hanya menerima air bersih dua hari seminggu,” katanya.

Dzulkifli berkata, SPRM memandang serius isu terbabit dan mengesahkan bahawa loji air terbabit antara salah satu projek yang disiasat berkaitan kes penyelewengan dana awam.

“Lawatan hari ini (kelmarin) dilakukan ke sini kerana PLBAKSI salah satu projek yang disiasat, dan kita dapati walaupun sudah siap tetapi masih tidak boleh digunakan,” katanya.

Dzulkifli berkata, SPRM bertanggungjawab memastikan dasar dan polisi kerajaan persekutuan dan negeri dilaksanakan tanpa unsur rasuah atau salah guna kuasa.

Beliau berharap rakyat juga mengamalkan sikap mesra kepada SPRM kerana agensi itu tidak mempunyai agenda lain, selain daripada mahu berkhidmat untuk rakyat.

Tambahnya, SPRM sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan polisi kerajaan persekutuan dan negeri dilaksanakan oleh para pegawai kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

“Sudah sampai waktunya penjawat awam berkhidmat untuk rakyat, tidak terjerumus dengan isu rasuah dan rakyat perlu mendapat pembelaan hak sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan persekutuan dan negeri.

“Jika unsur rasuah atau salah guna kuasa wujud, kami akan ambil tindakan untuk rakyat Malaysia demi memastikan segala hak dan kepentingan rakyat itu sampai,” katanya.

Advertisement