Anda di sini

Mahkamah kekal keputusan, tiga pemilik hilang tanah NCR

Advertisement

KUCHING: Tiga pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) hilang tanah mereka buat selama-lamanya di Kampung Lebor, Jalan Gedong, Serian selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa Mahkamah Tinggi tidak dapat memerintahkan pembetulan hak milik untuk mengecualikan tanah NCR daripada pajakan yang sudah diberikan.

Tiga responden terbabit, Tuai Rumah Nyutan Jami, Gangak Guma dan Langa Kama, tidak ada pilihan lain kecuali untuk menerima pampasan atau ganti rugi selepas keputusan itu disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Edwin Paramjothy Michael Muniandy semalam.

Panel Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Suriyadi Halim Omar, Zainun Ali, Balia Yusof Wahi dan Jeffrey Tan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Edwin Paramjothy berkata doktrin ‘indefeasibility of title’, yang merupakan satu ciri penting dalam Sistem Torrens, termaktub dalam Seksyen 132 Kanun Tanah Sarawak.

“Dalam kes ini, ia adalah satu fakta yang tidak dapat dipertikaikan bahawa pajakan sementara telah dikeluarkan pada 1996,” katanya  dan menambah plaintif (responden) memfailkan pada November 1998 bahawa mereka mempunyai NCR ke atas sebahagian tanah itu yang diliputi pajakan sementara dan mahu NCR mereka dikecualikan dari pajakan sementara itu.

Beliau menambah, Seksyen 5(2)(a) dan (b) Kanun Tanah Sarawak memperuntukkan, antara lain bahawa selagi dokumen hak milik tidak dikeluarkan ke atas tanah di mana NCR telah diperolehi oleh seorang penduduk asal, ia akan terus menjadi tanah kerajaan.

Sebagai kesimpulan, kata Edwin Paramjothy, “ia adalah keputusan kami bahawa Seksyen 132 Kanun Tanah Sarawak berhubung ‘indefeasibility of title’ masih diguna pakai walaupun ia dapat dibuktikan bahawa NCR telah dicipta ke atas tanah dalam cara seperti ditetapkan di bawah kanun yang sama.

Beliau berkata, tuntutan bagi NCR tidak menewaskan ‘indefeasibility of title’ bagi tanah itu, walaupun kepentingan yang dinyatakan dalam dokumen pengeluaran hak milik dikeluarkan selepas NCR dinyatakan.

Jelasnya, asas undang-undang bagi pampasan dan ganti rugi untuk pelangagran dan/atau pemadamam NCR diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Sarawak, yang sepatutnya diperintahkan dalam kes ini oleh hakim perbicaraan.

Sementara itu, peguam See Chee How ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di Petra Jaya di sini berkata, keputusan ini menandakan hari paling gelap (the darkest Black Friday) dalam sejarah Sarawak yang membabitkan kes pertikaian tanah NCR, kata di sini.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa “apa yang dapat diperintahkan oleh mahkamah adalah pampasan bagi kawasan (yang dipertikaikan) itu yang sudah terbukti NCR ke atas pajakan diberikan”.

“Maka itu, satu kesilapan atau apa sahaja oleh kerajaan untuk memberikan pajakan ini dan ia dianggap sudah padam dan mereka akan membayar pampasan,” katanya selepas penyampaian keputusan mahkamah yang memakan masa hampir sejam.

Perayu dalam kes ini adalah TH Pelita Sadong Sdn Bhd dan TH Pelita Gedong Sdn Bhd (syarikat-syarikat TH), RHB Islamic Bank Bhd, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) serta kerajaan negeri.

Advertisement