Anda di sini

Kerajaan usaha jadikan lada negara terbaik dunia

Advertisement
 Mah (tengah) bersama Uggah (tiga kiri), Mawan (kanan) serta yang lain menunjukkan buku resipi lada bertajuk ‘Sarawak Pepper for Your Palate’ yang turut dilancarkan pada majlis semalam.
ISTIMEWA: Mah (tengah) bersama Uggah (tiga kiri), Mawan (kanan) serta yang lain menunjukkan buku resipi lada bertajuk ‘Sarawak Pepper for Your Palate’ yang turut dilancarkan pada majlis semalam.

KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berusaha memastikan Malaysia dan Sarawak khususnya menjadi negara paling teratas dalam menghasilkan pengeluaran lada berkualiti kepada dunia.

Menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, Lada Sarawak khasnya kini dikenali di dunia dari segi premium, kualiti dan rasa.

“Sebagai contoh Vietnam, mereka masih mahu datang ke Sarawak kerana ingin mempelajari dan meneliti bagaimana Sarawak menghasilkan lada yang sangat berkualiti.

“Kita bukan negara pengeluar terbesar lada, hanya tempat kelima iaitu dari segi kualiti tetapi Malaysia dan Sarawak perlu menjadi yang terbaik dari segi kualiti lada dan sedang diusahakan kementerian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Pesta Lada 2017 yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Pengerusi MPB Tan Sri William Mawan Ikom di sini, semalam.

Mah berkata, setakat ini, jumlah pekebun lada di Malaysia seramai 29,614 orang dan 98 peratus daripada mereka terdiri daripada pekebun lada di Sarawak.

Pada tahun 2017, katanya, keluasan tanaman lada di Malaysia dijangka mencecah 17,100 hektar dan jumlah pengeluaran lada kira-kira 31,000 tan metrik.

Ia berbanding keluasan seluas 16,768 hektar pada tahun 2016 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 29,245 tan metrik.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), pihak kementerian juga telah memperuntuk dana pembangunan sebanyak RM40.9 juta bagi tujuan pembinaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara yang kini sedang dilaksanakan di Semenggok, Kuching.

“Dengan terbinanya Pusat Lada Negara, ia dapat membantu MPB dalam mempergiat dan memperkasakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri lada,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Mah yang melancarkan buku resipi lada bertajuk ‘Sarawak Pepper for Your Palate’ pada majlis sama berkata, buku berkenaan mengandungi pelbagai jenis resipi masakan berasaskan lada.

Beliau berkata, buku berkenaan mengandungi 25 resipi masakan tempatan dan antarabangsa yang telah dihasilkan dengan kerjasama oleh tiga pakar kulinari daripada Universiti UCSI.

Berhubung Pesta Lada yang diadakan, katanya, ia dilihat mampu menjadi platform untuk MPB memperkenal dan mempromosikan lagi industri lada di negara ini.

“Selama sedekad penubuhan MPB, pelbagai cabaran telah ditempuhi, begitu juga dengan kejayaan yang dicapai dan diraih agensi ini.

“MPB memainkan peranan dan fungsi yang penting dalam usaha pihak kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di luar bandar,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, Ketua Setiausaha kementerian Datuk K.Yogeesvaran dan Ketua Pengarah MPB Dr Harry Entebang.

  • oleh
  • Advertisement