Anda di sini

Wanita laku jenayah ugut didenda RM2,000 atau dua bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang wanita didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita lain.

Michele Serene Mawar Andrewson Aping, 25, dari Taman Permai, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas Shela Bangsa, 54.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang, 25 September lalu di hadapan sebuah tadika di Jalan Dato Permaisuri 5A di sini.

Terdahulu, semasa sebutan pertama kes pada 28 September lalu, tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan semalam untuk pengurusan kes.

Bagaimanapun, tertuduh memberitahu bahawa dia berhasrat menukar pengakuannya kepada bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement