Anda di sini

Teater punyai kuasa penyembuhan

Advertisement
 Normah (kiri) dan rakannya menjadi badut hospital untuk menghiburkan kanak-kanak yang sakit tenat di hospital. — Gambar oleh Normah Nordin
BERKHIDMAT KEPADA MASYARAKAT: Normah (kiri) dan rakannya menjadi badut hospital untuk menghiburkan kanak-kanak yang sakit tenat di hospital. — Gambar oleh Normah Nordin

KUCHING: Teater bukan sekadar seni tetapi merupakan terapi minda yang dapat mengatasi masalah stres pada masa sama meningkatkan keyakinan diri seseorang.

Lagenda Seni Negara atau Lagenda Teater Negara, Normah Nordin berkata umum masih tidak menyedari teater senaman ringan tetapi bersifat menyeluruh untuk melahirkan individu yang sihat minda dan fizikal.

Pada era 80-an katanya teater dilihat seni hiburan dan kurang diminati kerana ia suatu karya seni yang rumit dan kompleks sehingga dijolok sebagai seni kolektif atau sintetik.

Namun peredaran masa dan suntikan unsur kontemporari teater kini mula mendapat sambutan daripada golongan profesional dan muda yang mendapati penglibatan dalam seni itu khasnya mampu mengurangkan tekanan atau stress dialami akibat beban kerja serta tuntutan lain.

“Teater sebenarnya sangat bersesuaian dengan kehidupan harian kita. Ini kerana seni teater menggabungkan pelbagai seni seperti tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak.

“Dalam erti kata lain, ketika berteater semua anggota badan dan deria kita berfungsi, dan ketika itu juga otot-otot kita bergerak, ini secara tidak langsung membantu kita bernafas dengan baik dan mendorong otak kita berfikir dengan baik,” katanya ketika ditemu bual baru ini.

Normah ke Sarawak bersama dua lagi rakan seperjuangan iaitu Puan Sri Sabera Shaik pengasas Masakini Theatre Company dan usahawanita berjaya anak jati Sarawak di Kuala Lumpur, Sue Tiong melaksanakan projek amal dikenali Projek CAHAYA.

Beliau telah menyumbang kepada perkembangan serta kemajuan seni Malaysia selama lebih 35 tahun. Seorang artis cukup luar biasa yang tidak menghadkan dirinya hanya kepada satu bentuk seni.

Semenjak bertahun lalu, beliau sangat aktif dalam seni visual, televisyen dan filem, memegang pelbagai peranan, penulis skrip, jurulatih lakonan, pengarah seni, penerbit, pengarah dan banyak lagi.

Beliau juga merupakan artis visual yang mantap, hasil lukisan, gambar foto dan lakaran lainnya sering dipamerkan di peringkat tempatan juga antarabangsa.

Kehebatan Normah itu, menyebabkan beliau digelar aktivis budaya serta menjadi contoh teladan kepada artis-artis muda antaranya bekas pelajarnya dari pelbagai institusi akademik dan pusat latihan miliknya sendiri.

Beliau kini aktif mengajar anak-anak orang asli di Johor dan pribumi Sabah bertutur Bahasa Inggeris sejak tujuh tahun lalu.

Bukan itu sahaja bersama-sama rakannya yang lain Normah menjadi badut hospital, yang memberi motivasi serta menghiburkan khususnya pesakit kanak-kanak kronik di hospital-hospital di ibu negara.

“Ramai juga yang tidak tahu, teater hari ini adalah ‘healer’ kepada penyakit ‘stres’ atau kemurungan. Ramai rakyat negara kita sakit mental akibat tekanan hidup kerana apa yang dipandang hanyalah ‘wang’.

“Tiada kerja, stres, sedangkan ada perkara yang lebih penting iaiti kesihatan mental. Penyakit ini perlu dirawat dengan memberikan pesakit itu makanan rohani iaitu teater...Teater tiada kaitan dengan agama,” ujarnya.

Menurutnya, sekarang di seluruh dunia menggunakan teater sebagai terapi minda dan mengembangkan ‘soft skill’ seseorang.

Bagaimanapun katanya masih banyak kelebihan teater yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru ujarnya beliau bersama dua rakan seperjuangannya itu akan berusaha menghidupkan dan menambah nilai seni ini bagi menjadikannya terapi minda khas untuk anak-anak bermasalah.

“Anak-anak kita sekarang dari kecil lagi sudah diberi ‘dadah’ iaitu gajet...Dalam hal ini kita, lebih-lebih lagi ibu bapa harus berhati-hati kerana perbuatan ini akan menjadikan anak-anak kita generasi ‘robot’, tiada hubungan komunikasi antara manusia berlaku.

“Jika mereka terlibat dalam teater, tidak hanya mempunyai petah bercakap tetapi sihat fizikal dan minda...Inilah semuanya mengenai Projek CAHAYA membantu pelajar luar bandar yakin bercakap bahasa Inggeris menerusi teater,” katanya.

Berkongsi pengalaman bagaimana teater menjadikan dirinya berkeyakinan tinggi apabila berdepan khalayak ramai, Sue berkata semuanya bermula dengan pengenalannya dengan Sabera yang merupakan kliennya dalam perniagaan atas talian.

Sabera seorang artis, penerbit serta menulis skrip teater terkenal negara katanya banyak mengajarnya bernafas dengan betul ketika memberi perucapan awam yang berjam-jam lamanya.

“Kalau teknik pernafasan kita tidak betul, otak kita tidak akan dapat berfikir dengan betul, kurang cerdas...Perkenalan saya dengan Puan Sri (Sabera) menjadi saya hari ini.

“Teater sebenarnya dapat mengajar seseorang agar bersuara lantang seperti saya. Membuka suara sangat penting, cuba anda bercakap di hadapan khalayak selama empat jam.

“Masuk ke dalam dewan sahaja apa yang orang lihat, pertama sudah tentu imej dan ia bukan sekadar keyakinan tetapi teater menjadi minda saya lebih kuat,” katanya.

Melihat kesan teater kepada kemajuan dirinya, Sue percaya tanggapan umum sering mengatakan seni itu membuang masa adalah tidak betul malah ia mampu menjadi batu pengasah minda.

  • oleh
  • Advertisement