Anda di sini

Lelaki diarah bela diri, pindahkan 21 batang balak dari hutan simpan

Advertisement
 Lukman (kiri) mendengar penjelasan Timothy.
AKUR: Lukman (kiri) mendengar penjelasan Timothy.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki diperintahkan membela diri di Mahkamah Sesyen di sini bermula Rabu, atas pertuduhan menjalankan kerja-kerja memindahkan balak sebanyak 21 batang dari hutan simpan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu terhadap Lukman Sulaiman, 33, selepas kes berkenaan berakhir di peringkat pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan dan semua bukti, saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Timothy Daut memberitahu tertuduh akan memberikan keterangan bersumpah di dalam kandang saksi.

Mengikut pertuduhan, Lukman tanpa mendapat kebenaran memindahkan pelbagai jenis saiz dan spesies pokok dari Hutan Simpan Batu Punggul Kelas IV.

Kesalahan dilakukan pada 2 hingga 4 November tahun lalu jam 8 pagi hingga jam 5 petang, di kawasan tanah kerajaan Kampung Tataluan Sapulut Nabawan.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20 (2) Enakmen Hutan 1968, denda maksimum RM50,000 dan penjara antara setahun hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan lapan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Pegawai Pendakwa Peter Jack dari Jabatan Perhutanan melakukan pendakwaan terbabit dan dibantu Pegawai Penyiasat Donny Jailis.

Advertisement